Monday, 26 October 2026

Marah Adalah Nafsu

"Andai kemarahan kau adalah api, dari skala satu sampai sepuluh, berapa besar kau akan gambarkan dia?" Tanya Ameera kepada sosok di depannya. Mereka berdua sedang makan di Business Class Lounge sambil menunggu pesawat sekitar dua jam lagi.

Nuha mahu menganggapnya seperti soalan Jibril — pertanyaan yang dilontar sedangkan yang bertanya sudah pun tahu jawapannya — tetapi adakah Ameera benar-benar meneka sepuluh sebagai angka paling tinggi?

"Hiroshima. Nagasaki." Jawab Nuha. "That much."

Ameera mengangguk faham. Nuha maksudkan dua letupan yang sangat besar dalam sejarah. Bukan sekadar api dapur yang membakar harta kerana kecuaian, tetapi nuklear yang membunuh orang-orang tak bersalah dan dipilih dengan kesedaran penuh kerana nafsu. Begitulah sifat nafsu. Umpama haiwan liar dalam diri manusia. Marah juga adalah nafsu. Dan apabila ia sudah sebesar itu, ia malah mahu bersaing dengan api neraka berbanding berusaha memadamnya.

"Al-ghaiz (الغيظ). Kemuncak kemarahan. Tahu tak berapa kali Allah sebut perkataan ni dalam Al-Quran?" Tanya Ameera lagi.

Nuha menjungkit bahu. "Satu?" Dia cuma teringat surah Al-Mulk yang dibaca setiap malam.

Ameera menggeleng. Tiga jari diangkat. Ada tiga tempat di mana Allah menyebut tentang kemuncak kemarahan. 

"Mesti ayat-ayat ancaman neraka, kan? Marah ni berdosa. Bla bla bla. Bosan." Nuha bersandar memeluk tubuh.

Ameera ketawa kecil. "Sebaliknya, Nuha, ia dalam ayat yang Allah janjikan syurga."

Nuha berkerut. "Eh? Tak faham."

"Itulah, tilawah Ramadan nak khatam tapi tak baca makna." Ameera mengusik.

Nuha mencebik. 

Ameera membuka aplikasi Al-Quran. Skrin diletakkan di tengah meja untuk dibaca mereka berdua. Terpapar surah Ali Imran ayat 133 dan 134 berserta maknanya.

"Dan bersegeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi yang disediakan bagi orang-orang bertaqwa; {133} Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik; {134}"

Jari telunjuk Ameera bergerak-gerak antara dua perkataan. 

"والكاظمين الغيظ"

"...dan orang-orang yang menahan kemarahannya..."

"Nampak tak Allah padankan menahan marah dengan siapa? Orang yang bersedekah masa susah senang, dan orang yang selalu maafkan orang lain. Amalan kebaikan ada banyak, tapi bila Allah iktiraf sesuatu amalan direct dalam Al-Quran macam ni, maksudnya ia bukan benda kecil. Menahan marah bukan benda kecil. Allah terus iktiraf sebagai orang bertaqwa. Terus janjikan syurga." Terang Ameera dalam nada memujuk.

Mendengar skala api Nuha tadi, dia semakin faham kenapa Allah berjanji sebegitu besar; memadam nuklear dalam tubuh sekecil Nuha bukan benda mudah. Dan tiada orang lain yang benar-benar mampu mengawalnya kecuali diri sendiri.

Nuha sekadar diam.

Ameera sambung lagi. "Ada satu hadis juga tau nabi sebut dua perkataan ni. Same root words, same meanings, same weight. Imam Abu Daud dan Imam Tarmizi riwayatkan dan nilai sebagai hasan. Baginda cerita, masa hari kiamat nanti, Allah sendiri yang akan panggil orang-orang yang menahan marah untuk diberi penghormatan, dan mereka boleh pilih nak bidadari yang macam mana."

Di syurga, tiada orang bujang. Nuha tahu itu. Walaupun dia belum ada pengalaman, dia akui pasangan itu satu nikmat. "Means untuk perempuan, bidadara la kan? Macam tak menarik je." Nuha berseloroh. Sebenarnya, hatinya sudah pun sedikit terpujuk. Api nuklear hampir kehabisan gas apabila dihadapkan dengan dalil-dalil sebegini teduh.

Ameera tergelak. "Hei, kau tengok lagi satu ayat Quran pasal syurga ya." Paparan skrin ditukar-tukar sampailah ke surah Az-Zukhruf ayat 70 dan 71.

"Masuklah kamu ke dalam Syurga bersama-sama isteri-isteri kamu (yang beriman), menikmati sepenuhnya kegembiraan dan kesenangan". {70} Diedarkan kepada mereka pinggan-pinggan besar dan piala-piala dari emas; dan di dalam syurga itu pula disediakan segala yang diingini oleh nafsu serta dipandang indah oleh mata; dan (dikatakan kepada mereka): "Kamu kekal di dalamnya". {71}

Nuha perasan bagaimana Allah sebutkan bidadari untuk lelaki dan perhiasan untuk wanita; hakikatnya, dua-dua akan dapat dua-dua. Cuma hati kita lebih tertarik dengan perkara berbeza. 

Jari Ameera menunjuk ke arah perkataan 'pinggan'.

"Tengok la ni. Kalau pinggan dah emas, perhiasan kita apa agaknya?" Dia mengangkat-angkat kening. "Tak mungkin gelang kita nanti setaraf material pinggan."

Kali ini, Nuha pula yang menahan ketawa. Di mindanya sudah terbayang-bayang keindahan yang mustahil dicerap indera di dunia ini. Harapan mula terbit, bersinar sedikit demi sedikit. Nuha beriman. Dia tak ragukan walau satu ayat. Ternyata semuanya boleh dia capai dengan satu syarat: dia mesti mengawal nafsu kemarahannya.

"Thanks, babe." Ujar Nuha ringkas.

Ameera tersengih. Dia tidak memanjangkan lagi 'sesi tazkirah', mahu memberi ruang sahabatnya merenung.Dia ambil telefon bimbit dan menyemak jadual penerbangan. Permusafiran ini adalah keputusan paling drastik oleh Nuha. Perang dalam dadanya pasti bukan biasa-biasa. Kerana itu, Ameera cuba mengumpul apa yang Islam katakan tentang marah. Mengenali Nuha, Ameera tahu sekurang-kurangnya buat masa sekarang, bom itu tidak akan dibiarkan meletup. Mungkin Nuha sedang menggali lubang besar di tanah gersang untuk dia tanam kelongsong letupan itu dalam-dalam. Tarbiah adalah perjalanan panjang. Sebagai sahabat, dia berazam untuk terus berada di sisi Nuha dalam jatuh bangunnya menyelamatkan diri sendiri.