Wednesday 21 December 2022

Bukti

Aku dibesarkan dalam keluarga yang solat dan mengaji. Sejak kecil, aku suka membaca kisah para rasul dan mendengar ceramah Ustazah Al-Bahyah. Zaman remaja aku habiskan di sekolah agama berasrama penuh, dengan peraturan kewajipan memakai tudung labuh, pengasingan lelaki dan perempuan, serta qiamulail setiap hujung minggu. Tamat zaman remaja, aku memilih ijazah sarjana muda di Pusat Kajian Usuluddin dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam. 

20 tahun pertama hidup aku hanya dikelilingi oleh orang-orang yang mengenal Islam dan mengamalkannya. Selepas itu, aku mengambil jalan yang berbeza - keluar dari kelompok agama. Mungkin kerana aku mahu buktikan bahawa pelajar agama boleh hidup di mana saja.

Aku mulakan kerjaya pertama di bahagian kewangan (finance) dalam sebuah syarikat perabot (bespoke furniture) dan rekaan dalaman (interior design). Ternyata membumikan Islam dalam syarikat milik bukan Islam dan bersekitaran tidak islamik tidaklah semudah yang disangka.

**

~ Cabaran 1: Pakaian ~

Uniform di sini ialah sehelai baju t-shirt hitam berlengan pendek.

Di Maahad, seorang ustazah yang aku sayang pernah berpesan untuk tidak membiasakan diri memakai seluar. Disebabkan aku menyayanginya, aku tidak lagi memakai seluar pada zaman universiti. Tapi aku harus melanggar prinsip yang satu itu apabila aku mula bekerja di sini.

Aku mula membeli inner shirt, seluar jeans, dan skirt pendek. Inilah pakaianku 5 hari seminggu. Mujur tiada kewajipan menampakkan logo syarikat di baju, jadi aku boleh kekal memakai tudung labuh. Hari keenam, kami dibenarkan untuk tidak memakai uniform. Kebiasaannya aku akan memakai dress tanpa lengan dipadankan dengan cardigan labuh. 

~ Cabaran 2: Makanan ~

Siapa sangka aku perlu risau bab halal haram makanan di Malaysia, sebuah negara majoriti Islam. Tapi itulah hakikatnya apabila syarikat gemar meraikan majlis hari jadi di restoran, yang mana kedai kek dan restoran adalah milik bukan Islam dan tiada sijil halal. Satu-satunya jaminan ialah mereka tidak menghidangkan arak dan babi.

Halal haram makanan sebenarnya lebih luas daripada arak dan babi. Ia termasuk cara sembelihan, jenis binatang, dan bahan-bahan yang suci atau najis di sisi syarak. Makan bersama mereka, aku harus berpura-pura seperti aku berada di sebuah restoran di Korea - selalu memilih makanan laut bagi mengelakkan daging dan ayam yang tiada jaminan cara penyembelihannya. Aku masih di Malaysia yang tidak dikira darurat sehingga perlu terlalu mengambil ringan. Maka aku cuba bersederhana semampunya.

~ Cabaran 3: Carutan ~

Umpama zikir selepas solat, carutan pelbagai bahasa ialah budaya di sini. Kita sudah dewasa, tapi entah kenapa, amarahnya masih seperti remaja. Aku teringat akan Nirnama. Bagaimana agaknya dia boleh tenang dan kekal teduh di tengah-tengah masyarakat yang penuh maksiat? Jawapannya, cuma perlu tempuh dan bertahan. Jiwa aku ikut panas mendengar ratib mereka pada mulanya. Tapi lama kelamaan, aku sudah terbiasa. Tidak redha, namun tidak melawan. Kerana dakwahku ialah akhlakku. Dan aku tahu mereka memerhatikan itu.

~ Cabaran 4: Berhala dan Arak ~

Ini ialah cabaran yang membuatkan aku berhenti memperjuangkan. Sebagai syarikat yang masih berkembang, seorang pekerja harus mampu memikul dua jawatan sekaligus. Aku terlibat dalam semua projek; sebahagiannya melibatkan rekaan kabinet berhala dan perhiasan peti sejuk arak. Kami cuba untuk membahagikan tugasan supaya aku tidak terlibat dengan bahagian-bahagian tersebut, tapi gagal. 

Tambahan, apabila ada makan-makan bersama staff bukan Islam pula, aku terpaksa hadir majlis yang dihidangkan arak padanya.

Aku akhirnya memilih untuk undur diri.

Orang kata keputusan aku terburu-buru, kurang bijak, bukan yang terbaik. Tapi aku sudah berfikir selama berbulan-bulan, bertanya pendapat rakan-rakan yang memahami agama, dan melazimi istikharah kepada Tuhan. Usaha apa lagi yang harus aku lakukan bagi mendapatkan jawapan? Hanya kerana mereka tidak tahu dan tidak faham, maka segala yang tidak masuk akal mereka adalah salah. Menurut mereka, yang paling tepat ialah memikirkan wang, apa yang mampu dicapai dengan wang, dan apa yang akan gagal didapatkan jika tiada wang.

Mereka lupa tentang keberkatan. Atau lebih menakutkan, istidraj - masih dikurniakan wang meski tiada taqwa, dibiar tenggelam dalam nikmat sehingga neraka di depan mata. 

**

"Pelajar agama boleh hidup di mana saja." Aku benar, dan aku salah.

Benar, kita boleh hidup di mana saja kerana keharusan dalam Islam itu adalah lebih luas daripada keharamannya.

Salah, aku lupa bahawa ada beza antara "boleh hidup" dengan "boleh hidup dengan baik".