Friday 10 April 2020

Terpedaya.

Dia bangun dari tempat solatnya dan berpindah ke saf belakang. Suasana yang lengang pada waktu Zohor itu memudahkan dia untuk mencari tempat solat baharu.

Stoking lengan ditarik sedikit ke pergelangan bagi memastikan auratnya ditutup dengan sempurna, "Allahuakbar," takbir diangkat.

Dalam hati, dia cuba untuk meluruskan niat sebaik mungkin. Jujur, dia bukanlah seorang Muslimah yang melazimi solat sunat sebelum dan selepas solat fardu. Namun apabila menunaikan kewajipan kedua rukun Islam itu di masjid universiti, dia sedar bahawa dia mewakili fakultinya iaitu Pengajian Islam dan banyak mata-mata yang memandang. Dia berasa bertanggungjawab untuk menunjukkan contoh terbaik kepada masyarakat sekaligus menjaga nama golongan agamawan daripada dituduh sebagai kelompok yang mempunyai ilmu tetapi tidak mengamalkan. Dia tidak mahu akibat dirinya seorang, seluruh kelompok tercalit pandangan buruk orang ramai.

Walaupun jauh di lubuk hati, dia terkadang mempersoalkan niat sendiri.

**

Jam 3 pagi.

Matanya masih belum memberikan tanda-tanda mahu tidur. 'Satu jam lagi, inshaallah,' dia bermonolog sendiri. Kafein di sebelah komputer riba dihirup bagi mengekalkan fokus terhadap tugasannya.

Dia sedang mengumpulkan isi penting daripada sebuah karya agung Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali, Ihya' Ulumuddin. Ingin sekali dia membaca dengan teliti satu persatu kata ulama' itu, tetapi dia tidak punya kemewahan masa. Hanya bab-bab yang berkaitan dengan tajuk tugasannya menjadi pilihan.

Riak. Topik yang sedang dicerna. Terdapat pelbagai tingkatan dan keadaan belitan syaitan menerusi sifat itu. Dia hanya terus membaca, sehingga sampai pada satu ayat; situasi yang mirip dengan persoalan yang disimpannya semenjak dua menjak ini.

"Sesungguhnya keberatan engkau kepada si pencela itu, adalah kerana agama semata-mata. Dan ini adalah penipuan syaitan semata-mata."

Jiwanya sedikit tersentak. Dia cuba memahami perenggan itu sehabis baik. Kemudian dia tersandar, bermuhasabah.

'Membuat kebaikan di hadapan orang kerana ingin mengelakkan fitnah terhadap golongan tertentu, sedangkan ketika bersendirian tidak diperbuat ibadah seperti itu. Hakikat seorang mukmin itu tahu bahawa dia harus menyayangi dirinya terlebih dahulu sebelum menyelamatkan orang lain. Apakah justifikasi kita untuk menyelamatkan orang lain tetapi mengabaikan diri sendiri ketika bersendirian dengan Tuhan? Melainkan ini adalah sebahagian tipu daya syaitan daripada sifat riak,'

Mindanya merumuskan.

Hela nafas menjadi berat. Sungguh dia tidak menyangka begitu sekali dia terperdaya.

"Astaghfirullahalazhim... Astaghfirullahalazhim..."

Masih banyak yang perlu diperbaiki. Dia mengambil masa menerima khilaf sendiri.

Moga Allah SWT ampunkan kita.

Tuesday 7 April 2020

#KitaJagaKita

"Babe," Anne memanggilku, "Ini aku ada beli nasi goreng. Makanlah," dia menghulurkan bungkusan kecil itu kepadaku.

Aku meneliti bungkusan itu dengan rasa aneh. Langit sudah senja. Masakan kami hendak makan nasi goreng pada waktu-waktu begini?

"Beli dekat mana?" aku bertanya.

Anne duduk di bawah kipas ruang tamu rumah kami. Barangkali masih penat selepas pulang dari kerja. Peti sejuk aku buka untuk menyimpan makanan tadi sementara menunggu jawapannya.

"Ada budak kecil jual berhampiran kedai aku tadi. Tak sampai hati tengok," Anne menjawab, "Ibu aku pesan, waktu-waktu kuarantin macam ini kalau nampak orang berniaga, belilah. Jangan takut tiada duit. Inshaallah, Allah akan gantikan dengan rezeki yang lebih luas,"

Aku tersenyum mendengar dia mengulang nasihat bondanya.

"Dan sekarang aku sudah tiada duit!" Anne meluahkan ketawa hambar.

Aku tergelak kecil, "Tidak mengapa. Barang rumah banyak lagi, boleh masak. Atau pun esok aku beli promo Burger King, kita makan sama-sama. Okay?" Aku mempelawa, "Yang penting kau jangan nak tengok FoodPanda atau aplikasi sebegitu. Habis semua peniaga kecil engkau mahu bantu nanti," gurau aku.