Friday 15 September 2023

Purdah

"Neelofa lepas kahwin terus pakai purdah. Ya la, suami ustaz. Kalau tak kahwin dengan ustaz, tak pakai pun. Nampak sangat tak ikhlas."

Begitulah salah satu komen netizan di media sosial. Aku terus menatal ke bawah tanpa memberi sebarang interaksi terhadap komen tersebut.

Aku sedang menunggu Aisyah di sebuah kafe di dalam pusat membeli belah. Tak lama selepas aku membaca komen itu, dia muncul di hadapanku. Kami memesan makanan dan mula berborak, sehinggalah ke topik pertunangannya pada bulan lalu. 

Dia meluahkan sesuatu. "Sebenarnya kan, Ra, aku dah lama teringin nak pakai purdah. Hari-hari aku doa supaya Allah berikan aku kekuatan. Tapi sampai sekarang aku belum mampu."

Aku biarkan dia terus bercerita tanpa mencelah.

"Tapi kau tahu tak? Salah satu hadiah yang dia bagi kat aku masa tunang hari itu... set purdah." Aisyah mengukir senyuman.

Aku turut tersenyum. Jelas ia satu petunjuk. Satu jawapan kepada doanya yang setiap hari itu. Tinggal dia saja yang perlu buat keputusan, sama ada mahu ambil langkah seterusnya atau tidak.

Aisyah sambung bicara. "Kalau boleh, aku taknak jadikan suami sebagai sebab aku pakai purdah. Tapi aku percaya, Allah hadirkan dia sebagai salah satu penguat untuk aku sekurang-kurangnya mula." 

Beberapa bulan kemudian, mereka bernikah. Gambar dan video majlis perkahwinan menunjukkan Aisyah sudah memakai purdah.

Aku tahu, akan ada yang mengeluarkan dialog sama. "Tak ikhlas!"

Sebab yang mereka nampak, Aisyah pakai purdah selepas kahwin.

Sedangkan mereka tak nampak, niat dan doanya bertahun-tahun sebelum itu. Mereka tak nampak usahanya bertanya-tanya tentang cara hidup seorang wanita berpurdah sebelum dia berkenalan dengan suaminya lagi. Mereka tak nampak yang dia sebenarnya sudah pun memakai purdah dua bulan sebelum akad nikah.

Sesetengah orang akan cepat mengeluarkan hukuman bahawa dia tak ikhlas dan tak bebas selepas bernikah. Tapi pada aku, dialah antara wanita paling ikhlas dalam doanya dan paling bebas dalam usahanya.