Thursday 30 January 2020

Asing

Aku tenggelam dalam lamunan sendiri sementara kak Husna memandu di sebelah. Lagu-lagu di corong radio hanya kedengaran sayup-sayup bagi mengisi kesunyian.

"Akak?" aku mulakan bicara.

"Ya?" kak Husna memberi respon.

Soalan dikeluarkan secara spontan, "Apa pandangan akak kalau nampak orang agama bertudung labuh makan satu meja bertiga atau berempat dengan ajnabi?" tanyaku. Mata yang tadi memandang jalan raya masih merenung kosong.

Beberapa saat telah berlalu, namun kak Husna masih tidak memberikan jawapan. Dahiku berkerut. Pandangan aku alihkan ke arah kak Husna yang menyambutnya dengan satu senyuman kecil, memberi tanda bahawa jawapan yang berada dalam mindanya pada ketika itu bukanlah sesuatu yang bakal enak didengari.

"Macam pelik, kan?" aku cuba meneka.

Senyuman kak Husna semakin melebar, "Jujurlah, kalau Aira sendiri yang berada dalam situasi tu, apa Aira rasa?" dia bertanya kembali.

Aku mengambil masa untuk berimaginasi, "Entah. Macam janggal kot?" aku memberi jawapan tidak pasti.

Oleh kerana latar belakang kami yang agak berbeza, aku ingin mendapatkan pandangan kak Husna tentang hal itu. Kak Husna tidak mempunyai pendidikan yang mendalam tentang agama, manakala aku pula sudah berada atas jalan ini lebih kurang sedekad. Pakaian kami jelas melambangkan perkara tersebut.

Melihat aku benar-benar ingin tahu, kak Husna mula bercerita, "Akak pernah diajak oleh kawan akak untuk makan bersama dengan rakan sekerja kami. Lelaki. Akak taknak ikut, tapi kawan akak agak mendesak. Dia kata, 'Makan saja pun?'," kak Husna menggeleng perlahan dengan senyuman yang masih tidak lekang dari bibir, "Kemudian akak minta nombor boyfriend dia. Akak kata, biar senang nanti nak ajak boyfriend dia makan. Alah, makan saja pun, kan?" dia mengembalikan kata-kata itu kepada kawannya.

Aku terketawa mendengar cerita itu.

"Kita ini bila buat benda macam tu, memang rasa macam biasa. Sebab bukan kita yang kena. Sedangkan yang ada dengan kita pada masa itu kadangkala ialah suami orang, boyfriend orang," kak Husna pesan, "Belajarlah letakkan diri dekat tempat orang lain," dia memandangku sekilas, "Kalau nak tahu, setiap hari dekat tempat kerja akak ada saja lelaki yang ajak makan. Offer belanja. Jadi, setiap hari kalau akak nak berjimat sebenarnya akak boleh untuk tidak keluarkan satu sen pun duit makan. Tapi harga diri nak letak mana?"

Ayat terakhir kak Husna membuatkan aku tersentap.

"Akak buat macam tu pun alhamdulillah rezeki cukup saja. Tiada pun tak cukup duit sebab reject orang nak belanja," kak Husna menghabiskan penceritaan.

Aku mengangguk tanda faham, "Jadi, pelik lah kalau nampak orang agama makan semeja macam tu ya?" aku meminta kepastian.

Sekali lagi kak Husna mengambil masa untuk menjawab, "Entahlah. Kadang nilai yang orang lain pegang tak sama dengan kita. Makan semeja dengan ajnabi tu, tak kira orang agama atau tidak, sudah menjadi norma di Malaysia. Tapi kita yang rasa serba tak kena ni, simpanlah rasa itu. Deep down kita tau benda tu salah kan. Jadi tak payahlah buat," dia memberi komen, "Walaupun sebenarnya, kalau kita tak ikut norma ni, orang akan pulaukan kita. Itulah yang kak Husna tengah hadapi sekarang. Kadang kalau balik kerja tu boleh menangis seorang diri dalam kereta sebab tertekan. Kita cuma nak pertahankan harga diri kita. Entah kenapa perkara itu pun salah di mata mereka," riak muka kak Husna sedikit berubah.

"Itulah..." hanya satu perkataan menjadi responku, "Kawan Aira pun pernah cakap, kita ni hidup jangan syadid sangat. Nanti orang tak suka,"

Kami berdua ketawa kecil.

"Islam muncul dalam keadaan asing dan akan kembali dalam keadaan asing, maka beruntunglah orang-orang yang asing,"

Kak Husna membacakan hadith tersebut sepintas lalu. Kata-kata nabi yang cukup untuk memberikan ketenangan dalam hati kami.

Secara jujurnya, aku agak kagum dengan kak Husna yang masih mencuba sehabis baik untuk mengelakkan ikhtilat yang tidak perlu. Meskipun sekilas pandang dari zahirnya, dia bukanlah seorang yang kelihatan 'menjaga'.

Aku harap kekuatan ini terus wujud dalam diri kami. Dalam diri aku.

I could leave the love of my life for Him.
Surely I can leave this one thing for Him, too.

Moga Allah sentiasa pelihara.