Monday 8 November 2021

Curhat di Kedai Kopi

Meja-meja kosong di Coffee Bean & Tea Leaf mula diisi dengan pelanggan pada petang hujung minggu itu. Aku duduk membelakangi pintu, di satu meja berdekatan penjuru paling jauh seseorang perlu berjalan dari pintu masuk. Hazelnut latte ais dan sepinggan lasagna terhidang, bersama sebuah buku bertajuk Poskad-poskad Penghujung Semester terbuka di sebelahnya. Aku mengunyah suapan tadi sambil menghayati huruf-huruf yang dititipkan oleh penulis.

"Engkau di seberang sana, sudah-sudahlah menghukum aku dari kejauhan, menyangka aku sedang mendaki dan melupakan. Mampirlah kau dan lihatlah apa yang sedang aku lakukan. Adakalanya yang engkau lihat hanya bayang hitam yang sedang mendaki, walhal aku sedang bersabar menuruni lembah kehidupan.

Dan tahukah engkau, betapa sengsaranya jiwa meraih makna hamba?

Engkau megah menggelar diri sebagai kawan yang setia — menarik jika aku meninggi, mengangkat jika aku merendah. Sudahlah. Engkau hanya mengenali aku yang dulu, engkau tidak pun memasuki kehidupanku yang sekarang."

Penanda buku aku letakkan di celah-celah halaman itu, lalu buku aku tutup sebelum tanganku mencapai telefon bimbit.

"ETA pukul berapa? I gotta need to have my expectation right." Aku menekan butang hantar.

Telefon bimbit itu bergetar tidak lama kemudian. "3:31."

Aku meneliti catatan waktu di bawah mesej yang baru masuk itu. 3:30. Dahiku berkerut.

Pelanggan yang tidak berhenti masuk ke dalam kafe dari tadi membuatkan pintu kafe terus berbunyi, namun bunyi yang satu ini hadir bersama aura yang membuat aku tersenyum. Aku menoleh ke belakang, dan ya, tudung biru muda kelihatan dari kejauhan.

El Khaira.

Aku melemparkan senyuman untuk dia sebelum memandang semula ke hadapan. Buku aku simpan. Makanan aku suap buat kali terakhir dan aku tolak pinggan sisa itu ke tepi meja bagi memberi ruang minuman dan makanan baru yang akan ada tidak lama lagi.

Sementara menunggu dia selesai memesan di kaunter, fikiranku menerawang ke detik tadi. Petunjuk kehadirannya daripada mesej dan aura. Apakah itu logik atau firasat? Barangkali gabungan kedua-duanya. Aku menggeleng menyahkan tanda tanya.

Firasat bukanlah sesuatu yang asing bagi aku. Cerita seperti ini, pada kebanyakan orang, hanyalah logik dan kebetulan. Tapi di mana logik dan kebetulan tentang mimpi yang bukan sekali? Ada kisah-kisah yang tidak tercapai dek akal tentang mimpi dan firasat yang aku alami. Berkenaan orang-orang yang aku sayang. Barangkali kerana hati kami saling berhubungan. Ah, entahlah. Memikirkannya hanya membuka ruang untuk syaitan menggoda, maka aku lebih memilih untuk pura-pura tidak mengerti.

"Lamakah hang tunggu?" Dia menepuk lembut bahuku.

Aku tersenyum sambil menggeleng. "Tak pun. Just nice je."

"Weh sorry, tadi makcik aku patutnya pergi klinik je. Tapi lepas tu dia nak pakai kereta pergi..." Khaira terus bercerita panjang.

Aku, macam biasa, menjadi pendengar setia.

"Itu yang jadi lewat." Selepas menjelaskan sebab musababnya, Khaira meminta izin untuk ke tandas. Kemudian, dia kembali bersama makanan dan minuman yang dipesannya tadi.

Aku mengangkat sebelah kening melihat air yang diletakkan di atas meja. "Caramel machiatto?"

Khaira sekadar ketawa dan menyuap sepotong kek oreo yang dipesannya tadi.

"Sejak bila hang minum kopi manis?" Aku melanjutkan pertanyaan.

Selepas mengunyah dan menelan kek tersebut, tangannya mula mencapai pemegang cawan. "People change." Khaira mengenjut bahu sambil tersenyum. Dia kemudian menghirup minumannya penuh nikmat.

Aku sekadar bersandar memerhatikannya. "Indeed."

"Eh, hang kerja apa sekarang? Aku nampak updates hang tapi aku tak faham." Dia menukar topik.

Aku menghela nafas panjang. "Kalau aku taknak cakap pasal tu, boleh?"

Khaira terkebil-kebil seketika. Masakan tidak? Sudah setahun lebih kami tidak berjumpa. Tentunya kami ingin mengetahui apa yang sedang dilakukan oleh satu sama lain sekarang. Tetapi aku pula memilih untuk masih menyimpan rahsia, walaupun Khaira telah merantau merentasi lima negeri untuk bertemu denganku.

"Nak kena bagitahu juga ke?" Aku mengangkat kening.

Dia tergelak. "Mestilah tidak. We talk about what we're comfortable to talk about. I won't force you."

Aku mengangguk. "I know." Jawabku perlahan. "And for that, thank you."

Sejujurnya, aku tidak tahu apa yang aku telah lakukan sehingga Tuhan menetapkan bahawa aku layak untuk mendapat seorang sahabat seperti Khaira. Sahabat yang sangat memahami, mempercayai dan menghormati. Barangkali berkat doa ibu sebenarnya.

"How about you? How are thing's going?" Aku pula bertanya.

Khaira mengunyah dan menelan suapannya. "Well..." Dia meletakkan sudu.

"The interview?" Aku memilih topik.

"Oh it was terrible management. Padahal sepatutnya tak ada isu pun. Kami budak scholar kot but you know these people, buat kerja entah apa-apa. That day la aku..."

Kami meneruskan perbualan sehingga lebih kurang dua jam. Minuman kami sudah habis. Jika tidak kerana aku belum solat Asar, mungkin kami telah memutuskan untuk memesan secawan kopi lagi.

"Weh Umi. Macam mana kita boleh rapat ha?"

Aku terjeda dengan soalan itu.

"Izati tanya aku hari tu. Macam mana kita boleh rapat sedangkan masa sekolah dulu sekali pun kita tak pernah bertegur."

Aku mengimbau kembali kali pertama kami keluar bersama. Waktu itu menjadi titik permulaan persahabatan kami sehingga saat ini. Waktu itu, tahun kedua ijazah, iaitu masa-masa aku paling berputus asa dengan hidup. "Mungkin sebab... kita kenal sunyi yang sama."

**

Menjadi kuat itu bukan hanya ketika kita mampu tersenyum. Tetapi juga ketika kita menangis memujuk diri untuk terus bergerak.