Wednesday 9 March 2022

Bekerja

Masa aku mula-mula menjalankan perniagaan, aku jaga semua yang aku rasa aku patut jaga. Dhuha, tolong parents, tahajjud, quran, zikir. Pendapatan aku agak memuaskan pada waktu itu. Aku terfikir, "Oh, Tuhan sayangkan aku sebab aku jaga apa yang patut."

Tapi lama-kelamaan, aku teruji.

Sebagaimana yang aku pernah kata, buku bukan barang keperluan. Bahkan ia dikira sebagai barang mewah. Pelanggan sedia ada perlu menghabiskan bacaan mereka terlebih dahulu, sementara pelanggan baru pula sangat sukar untuk diperoleh. Tambahan adat kitaran ekonomi yang umpama domino, kekurangan wang orang lain mempengaruhi peniaga kecil seperti aku. Maka, pendapatan aku semakin berkurangan.

Hasil mula berubah, sedangkan aku masih menjaga apa yang patut.

Mengapa?

Kerana aku tersilap meletakkan amalan sendiri sebagai kayu ukur rahmat Tuhan. Sedangkan dunia tidak bergerak begitu. Agak sukar untuk kita menentukan bahawa sesuatu itu adalah rahmat atau musibah. Boleh jadi yang senang itu adalah musibah jika kita angkuh. Boleh jadi juga kesempitan itu adalah rahmat kerana menjadikan kita semakin dekat dengan Tuhan.

Amalan itu tanggungjawab.
Amalan itu juga ikhtiar.

Kita salah sama sekali jika menyangka bahawa kita mampu memberi sebarang bekas di sini. Meski yang menyalakan api itu kita, yang membuat sesuatu berasa panas dan terbakar itu Tuhan. Meski yang menepuk tangan itu kita, yang mengizinkan bunyi untuk terhasil itu Tuhan.

Meski yang bekerja itu kita, yang memberi itu Tuhan.