Saturday 4 December 2021

Silaturrahim

Bunyi televisyen mengisi kesunyian ruang tamu itu. Nur duduk di sofa, merenung kosong tv di rumah barunya.

Rumah baru. Bunyinya indah, namun realitinya tidak membahagiakan sebagaimana yang disangka. Dia melaburkan lebih RM100,000 untuk sebuah rumah yang bukan sahaja tidak boleh dikira sebagai sederhana, malah kecil dan comot. Sungguh tidak berbaloi. Pembina rumah itu ialah abang kandungnya — Ustaz Musa — dan anak-anak saudaranya sendiri.

"Budak-budak ni dah lama menganggur sejak PKP. Aku bagi la diorang kerja." Ustaz Musa menjelaskan.

"Bukan aku tak bagi budak baru belajar yang buat, bang. Tapi harga kau letak tu, upahnya tak bolehlah nak sama dengan orang yang dah mahir." Nur menyanggah.

Ustaz Musa seperti acuh tidak acuh sahaja mendengar aduan adiknya. "Elok saja lah rumah tu aku tengok. Tak ada nak betulkan apa lah."

Nur terus senyap seribu bahasa sehingga sekarang. Dia mengharapkan saudara sendiri untuk memberikan yang terbaik untuk dirinya memandangkan mereka lebih memahami situasinya. Dia sudah lama membina hidup di rantau sebagai seorang janda sambil membesarkan anak-anaknya. Kini anak-anaknya sudah mampu hidup sendiri, dia ingin pulang menetap di kampung. Dia ingin hidup dengan damai, berjirankan saudara mara kandungnya. Sayangnya, langkah pertama saja sudah menghampakan. Harapkan pegar, pegar makan padi. Bekas suami tidak bertanggungjawab, abang kandung bergelar ustaz juga tidak kurang beza.

Nur menghirup secawan teh. Matanya beralih dari televisyen ke tasbih. Tidak mengapalah, bisik hatinya. Rumah cantik tidak boleh dibawa ke kubur. Duit banyak juga tidak mampu menemaninya selepas mati, kecuali apa yang telah diinfakkan semasa dia hidup. Dia enggan merenggangkan silaturrahim hanya kerana urusan dunia. 

Akhirnya, dia memilih untuk merelakan segala yang dilakukan ke atas dirinya. Akhirat itu perjalanan yang lebih panjang. Tempat tuntutan hatta perbuatan sekecil zarah. Tempat pengadilan tanpa mengira status atau gelaran. 

Nur menemui ketenangan dengan hakikat itu.