Wednesday 21 August 2019

Lemah

Pengilat kuku berwarna hitam menjadi pilihannya pada hari ini.

Jari jemari halus diletakkan di bawah cahaya lampu, sehelai nota mantiq terbuka di sebelahnya. Dia mengambil gambar hasil 'seni'nya sebelum dikongsikan secara peribadi di status WhatsApp. Kemas. Sudah menjadi hobi untuk dia mewarnakan kuku apabila datang tempoh stress semasa 'cuti' setiap bulan.

Tidak berapa lama kemudian, satu pemberitahuan muncul. Sebaris mesej terpapar di bahagian atas skrin telefon bimbit berserta nama seorang lelaki. Penghantar bukanlah orang yang istimewa dalam hidupnya, tetapi merupakan salah seorang daripada sebilangan kecil kawan lama yang nombor mereka masih dia simpan selain sering berhubung.

"Kuku tampal ke tu? Kenapa pakai?" respon lelaki itu terhadap perkongsian imej tadi.

"Bukan tampal la. Ini liquid," dia membalas.

"Boleh tanggal?"

"Peel off,"

"Okay," katanya, "Ada kebaikan ke pakai benda tu?"

Dia mula merenung pertanyaan tersebut. Motif respon sudah jelas, namun dia bersedia untuk menerima apa yang sahabatnya itu ingin sampaikan.

"Tiada," ringkas jawapannya.

"Bawa keluar?"

"Tak. I'm wearing it for myself. Status tu pun cuma family dengan kawan-kawan tertentu je boleh nampak so don't worry about it," dia memberikan penjelasan.

"Okay nice," balasan dihantar, "Kalau bawa keluar, boleh mengundang fitnah,"

Jarinya hendak menulis bagi bertanyakan satu soalan, tetapi entah kenapa dia ragu-ragu. Bersediakah dia untuk menerima realiti pahit yang bakal disajikan oleh sahabatnya? Atau bijakkah soalan itu?

Ah, biarlah. Sampai bila mahu hidup dalam kemanisan yang palsu, fikirnya, "Boleh kau explain macam mana benda ni boleh jadi fitnah pula?"

Beberapa minit berlalu sementara lelaki itu menaipkan balasan; mungkin berfikir dan menyusun ayat-ayat yang sesuai. Salah kata, makian yang bakal diterima. Perempuan itu bukan orang biasa-biasa, tetapi mempunyai reputasi yang tentunya datang bersama ego. Selesai mengarang, butang 'hantar' ditekan.

Dia membaca dengan teliti tiga sebab yang disenaraikan, "Pertama, kau sendiri tahu macam mana pemikiran masyarakat kita. Mudah menghukum sebelum bertanya. Bukan semua orang tahu yang benda ni peel off, so kalau yang ringan lidah, mereka akan cakap solat kau langsung tak sah. Kedua, orang akan kurang rasa hormat pada pelajar agama. Kita bukan macam orang lain. Masyarakat judge kita lebih teruk kalau ada sesuatu perbuatan kita yang tak kena," dia bersetuju dengan alasan yang dikemukakan setakat ini, "Dan ketiga, janganlah kita sesekali meniru atau menyerupai orang yahudi dan nasrani..."

Perkara terakhir itu memberi kesan yang mendalam terhadap dirinya. Mindanya lantas mengingat kembali pesanan Rasulullah SAW:

لَتَتَّبِعُنَّ سَنَنَ الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ شِبْرًا بِشِبْرٍ وَذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا فِي جُحْرِ ضَبٍّ لَاتَّبَعْتُمُوهُمْ قُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ آلْيَهُودَ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ
.

“Sungguh, kalian benar-benar akan mengikuti kebiasaan orang-orang sebelum kalian sejengkal demi sejengkal dan sehasta demi sehasta, sehingga sekiranya mereka masuk ke dalam lubang biawak sekalipun kalian pasti akan mengikuti mereka.” Kami bertanya; “Wahai Rasulullah, adakah mereka itu kaum Yahudi dan Nasrani?” Baginda menjawab: “Siapa lagi kalau bukan mereka?”

(HR Muslim)

Matanya membaca kembali mesej yang diterima, "Ini adalah antara sebab yang aku boleh bagi. Bila aku tau ada jenis yang peel off, mungkin aku boleh longgarkan sikit. Lagi pun aku tau kau masih waras so it isn't that worrying to me. Tapi still, bagi aku tak manis lah perempuan solehah macam kau pakai benda ni," bibirnya mengukir satu senyuman kecil apabila digelar solehah. Begitu tinggi sekali kah dia di mata mereka?

"Thanks sebab tegur aku," ujarnya ikhlas.

"No problem. Jangan terasa pula tau,"

Dia menggeleng perlahan. Permintaan yang tidak logik. Mana ada orang yang ditegur tetapi tidak terasa. Hanya saja cara mereka mengawal dan memberi reaksi terhadap rasa sentap itu berbeza.

"Aku ni bukan apa. Kita kalau dah dapat Islam, kena jaga elok sebab ramai dekat luar sana yang dah tak pentingkan Islam," dia menyambung.

"Weh," dia menaip, "Pray for me ya. Aku ni kalau stress memang suka buat benda aneh sikit," kerisauan yang dipendam akhirnya terluah.

"It's okay," balasnya, "Kau nak cuba pakai benda tu, tiada masalah. Pakai la dekat dalam bilik tidur ke, tapi stay dalam rumah dan jangan bawa keluar. Honestly macam pelik perempuan pakai tudung guna pewarna kuku ni,"

Dia tersenyum kelat dengan ayat terakhir lelaki itu.

"Again, jangan terasa hati pula aku cakap. Kita semua sama je pernah try benda pelik-pelik, pernah buat dosa," dia mengakhiri mesejnya.

Jauh di sudut hati, dia mengucapkan kalimah syukur kepada Allah kerana masih memberikan peringatan lembut buat dirinya. Seringkali dia alpa, seolah-olah ilmu yang ditimba tidak begitu berguna. Namun Tuhan itu Maha Mengetahui. Setiap hari, dia takut. Risau dengan kekuatan yang dipunya tidak setanding ujian yang dia hadapi. Dan sungguh, dia tidak mampu untuk melawan jiwa sendiri. Maka, dia titipkan doa setiap hari. Boleh jadi itulah asbab untuk Tuhan masih menarik dia kembali.

Saturday 17 August 2019

Akhirat >>>

"Tak susah pun sebenarnya," dia bercerita, "Kiraan dia memang banyak, tapi semuanya mudah," tangannya yang tadi membuat pelbagai gaya, kembali memegang telefon bimbit.

Sudah tiga tahun lamanya kami tidak berjumpa. Kini berada dalam tahun kedua ijazah, dia menceritakan kepadaku subjek-subjek yang sedang dipelajarinya dalam jurusan electrical engineering. Sudah tentu, ia banyak berkisar sekitar nombor. Berbeza dengan aku yang mengambil jurusan pengajian Islam, gaya pembelajaranku lebih kepada penghafalan daripada pengiraan.

"Oh... Nice la kalau macam tu," Aku menghirup sedikit air milo di hadapanku.

Dia merenung aku beberapa saat sebelum bertanya, "Sebenarnya, kenapa kau ambil course ni weh?". Dahinya berkerut dek minda yang cuba memproses maklumat kontra yang telah kami maklum sejak sekolah rendah lagi.

Pertama, kami berdua suka matematik.
Kedua, kami tidak suka menghafal.

Bibirku mengukir satu senyuman yang tidak sampai ke mata, pandangan aku halakan ke tempat lain. Aku cuba mengambil nafas. Tenang. Memori berasak masuk tetapi satu persatu aku tepis bagi memberi ruang untuk berfikir.

فَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا وَمَا لَهُۥ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنۡ خَلَٰقٖ
.
Lancar lidahku membaca separuh akhir ayat ke-200 surah al-Baqarah itu.

Perlahan. Senada. Tiada lenggok atau lagu.

"Ada antara manusia yang berkata: 'Wahai Tuhan kami! Berikanlah kami kebaikan di dunia'. Mereka diberikan kebaikan di dunia dan tidak ada bagi mereka sedikitpun daripada kebaikan di akhirat," Aku membacakan maksudnya.

Matanya memandang tepat ke arahku. Seribu satu cerita yang terselindung disebalik wahyu suci Tuhan tersebut, aku pendam dalam memilih kata. Dia tidak perlu tahu, kecuali satu.

Aku meneruskan bicara, "Dalam kata lain, kalau kita kejar dunia, kita takkan dapat akhirat. Tapi kalau kita kejar akhirat, inshaallah kita dapat dua-dua. Aku bukan nak cakap yang course bukan agama ni duniawi, tidak. Kalau nak kejar akhirat, ambil jurusan apa pun boleh kejar akhirat. As long as kita niatkan pekerjaan itu sebagai sumbangan untuk agama dan umat, kira kejar akhirat la tu," Aku terangkan, "Tapi personally, aku belum ada long-term plan yang aku nak capai dalam hidup ini. Cuma impian kecil..." Penjelasanku terhenti.

Peristiwa pahit mengintai dari tabir fikiran. Dia tahu. Dan aku tidak mahu saat ini menjadi sayu jika aku meluah apa yang terbuku.

"So, aku cuma follow the flow; which base is ayat yang aku baca tadi," Aku habiskan penerangan.

Dia mengangguk tanda faham.

Sejujurnya, ayat al-Quran itu hanya untuk penenang hati selepas berbagai-bagai faktor lain yang menyebabkan aku membuat keputusan itu. Namun, cukuplah masa yang diluangkan bersama ini aku ceritakan tentang kita. Bukan aku, atau dia sahaja.

فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ
.
Kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.
(3:159)