Showing posts with label tarbiah. Show all posts
Showing posts with label tarbiah. Show all posts

Tuesday, 3 September 2019

Cukup

**

"اللهم أعني على ذكرك وشكرك وعلى حسن عبادتك"

**

Dulu, entah kenapa, aku rasa ragu-ragu untuk mengamalkan doa ini. Akal yang masih sempit membisikkan rasa takut andai doa tersebut menyebabkan rezeki aku semakin berkurangan (silly, i know). Walhal rasa syukur dan mengingati Tuhan itu boleh datang dalam bentuk yang pelbagai, termasuk nikmat dan kemewahan. Doa ini bukan perihal rezeki, tetapi reaksi terhadap rezeki.

Suatu hari, aku sedang sibuk menulis skrip untuk satu video yang bakal diterbitkan oleh salah seorang sahabat aku. Pintu bilik ditutup rapat dan dikunci dek kebisingan di ruang tamu yang agak menganggu fokus. Tema video tersebut ialah, happiness.

Kebahagiaan.

Aku meneliti isi yang disenaraikan lalu mengolah mesej tersebut dalam bentuk penceritaan. Sampai di bahagian hampir akhir, jari aku terhenti.

Apa sebenarnya kebahagiaan?
What is happiness?

Apa yang aku nak sampaikan melalui video ini? Jawapan yang mereka perlu cari sendiri, atau sepatutnya aku memberi jawapan?

Satu persatu tanda tanya muncul dalam kepala. Penceritaan yang tadi telah kemas ditaip, aku baca semula. Jika tadi aku hanya fokus untuk menterjemah dan bercerita, kali ini aku menganalisa setiap bait perkataan yang ingin disampaikan. Melihat gambaran yang lebih besar, satu perkataan muncul dalam minda aku.

Contentment.

Rasa cukup. Atau istilah islamiknya, qana'ah. Apa yang membuatkan kita tidak gembira, kebanyakannya adalah kerana kita berasa tidak cukup. I need more. I deserve better. Why does this happen to me? Bisikan-bisikan yang membuatkan hati kita resah. Jiwa kita kosong.

Menulis skrip itu, pintu hati aku terasa seperti diketuk lembut. Ya, bersyukur untuk bahagia itu adalah sesuatu yang cliche dan biasa disebarkan dalam status-status WhatsApp, Facebook, dan Instagram. Kata-kata tersebut sudah seperti mantra yang diterapkan dalam kumpulan-kumpulan "budak agama". Tetapi, menemui sesuatu atas tindakan orang lain berbanding dengan menyedari sesuatu atas usaha kerja minda sendiri, berbeza rasanya. Maka, pada solat seterusnya, aku menambah satu lagi doa dalam rutinku.

"Ya Allah, Kau bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan memperbaiki ibadahku kepada-Mu."

Aku tidak minta harta dan kemewahan. Aku tidak minta nama dan kecantikan. Aku hanya ingin cukup. Syukur.

Kerana aku hanya ingin bahagia.

Saturday, 17 August 2019

Akhirat >>>

"Tak susah pun sebenarnya," dia bercerita, "Kiraan dia memang banyak, tapi semuanya mudah," tangannya yang tadi membuat pelbagai gaya, kembali memegang telefon bimbit.

Sudah tiga tahun lamanya kami tidak berjumpa. Kini berada dalam tahun kedua ijazah, dia menceritakan kepadaku subjek-subjek yang sedang dipelajarinya dalam jurusan electrical engineering. Sudah tentu, ia banyak berkisar sekitar nombor. Berbeza dengan aku yang mengambil jurusan pengajian Islam, gaya pembelajaranku lebih kepada penghafalan daripada pengiraan.

"Oh... Nice la kalau macam tu," Aku menghirup sedikit air milo di hadapanku.

Dia merenung aku beberapa saat sebelum bertanya, "Sebenarnya, kenapa kau ambil course ni weh?". Dahinya berkerut dek minda yang cuba memproses maklumat kontra yang telah kami maklum sejak sekolah rendah lagi.

Pertama, kami berdua suka matematik.
Kedua, kami tidak suka menghafal.

Bibirku mengukir satu senyuman yang tidak sampai ke mata, pandangan aku halakan ke tempat lain. Aku cuba mengambil nafas. Tenang. Memori berasak masuk tetapi satu persatu aku tepis bagi memberi ruang untuk berfikir.

فَمِنَ ٱلنَّاسِ مَن يَقُولُ رَبَّنَآ ءَاتِنَا فِي ٱلدُّنۡيَا وَمَا لَهُۥ فِي ٱلۡأٓخِرَةِ مِنۡ خَلَٰقٖ
.
Lancar lidahku membaca separuh akhir ayat ke-200 surah al-Baqarah itu.

Perlahan. Senada. Tiada lenggok atau lagu.

"Ada antara manusia yang berkata: 'Wahai Tuhan kami! Berikanlah kami kebaikan di dunia'. Mereka diberikan kebaikan di dunia dan tidak ada bagi mereka sedikitpun daripada kebaikan di akhirat," Aku membacakan maksudnya.

Matanya memandang tepat ke arahku. Seribu satu cerita yang terselindung disebalik wahyu suci Tuhan tersebut, aku pendam dalam memilih kata. Dia tidak perlu tahu, kecuali satu.

Aku meneruskan bicara, "Dalam kata lain, kalau kita kejar dunia, kita takkan dapat akhirat. Tapi kalau kita kejar akhirat, inshaallah kita dapat dua-dua. Aku bukan nak cakap yang course bukan agama ni duniawi, tidak. Kalau nak kejar akhirat, ambil jurusan apa pun boleh kejar akhirat. As long as kita niatkan pekerjaan itu sebagai sumbangan untuk agama dan umat, kira kejar akhirat la tu," Aku terangkan, "Tapi personally, aku belum ada long-term plan yang aku nak capai dalam hidup ini. Cuma impian kecil..." Penjelasanku terhenti.

Peristiwa pahit mengintai dari tabir fikiran. Dia tahu. Dan aku tidak mahu saat ini menjadi sayu jika aku meluah apa yang terbuku.

"So, aku cuma follow the flow; which base is ayat yang aku baca tadi," Aku habiskan penerangan.

Dia mengangguk tanda faham.

Sejujurnya, ayat al-Quran itu hanya untuk penenang hati selepas berbagai-bagai faktor lain yang menyebabkan aku membuat keputusan itu. Namun, cukuplah masa yang diluangkan bersama ini aku ceritakan tentang kita. Bukan aku, atau dia sahaja.

فَإِذَا عَزَمۡتَ فَتَوَكَّلۡ عَلَى ٱللَّهِۚ إِنَّ ٱللَّهَ يُحِبُّ ٱلۡمُتَوَكِّلِينَ
.
Kemudian apabila engkau telah berazam maka bertawakalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Mengasihi orang-orang yang bertawakal kepadaNya.
(3:159)

Monday, 29 July 2019

Kelabu

Ada orang sangat organize dan siapkan kerja awal, supaya masa untuk memperbaiki kerja itu lebih banyak.
Ada orang buat kerja last minute, tapi masih menyiapkan amanah dengan baik.

Dua-dua pun tak salah.

Yang salah adalah orang yang tak reti nak faham orang lain dan push orang untuk ikut cara dia sahaja.

**

Ada orang yang termotivasi apabila di 'psycho'.
Ada orang yang semakin berundur. Untuk apa hidup atas aras orang yang tidak mampu untuk berhikmah, fikirnya.

Dua-dua pun tak salah.

Yang salah adalah orang yang mudah mengatakan orang lain lemah kerana tidak dapat menerima cara dia memberi "motivasi" dengan balaghah.

**

Ada yang menyampaikan dakwah sambil meluangkan masa tertentu untuk memantapkan tarbiah.
Ada yang hanya ingin fokus mentarbiah diri. Berdakwah sekadar akhlak, dek risau andai kata-kata yang diberi belum mampu dia hadapi jika diuji.

Dua-dua pun tak salah.

Yang salah adalah orang yang memperlekehkan usaha dan cara orang lain memperbaiki diri.

**

Ada orang sambung belajar, kerana kunci perubahan kehidupan pada dia adalah ilmu.
Ada orang terus bekerja, kerana percaya bahawa ilmu itu bukanlah sekadar sekolah dan buku.

Dua-dua pun tak salah.

Yang salah adalah orang yang membanding-bandingkan kehidupan manusia sedangkan tiada satu pun antara kita yang betul-betul sama.

**

Dunia ini bukan semata-mata hitam dan putih.
Tetapi, kelabu.