Thursday 21 January 2021

Waktu dan Pesanan

"Kita buat baik untuk Allah sayang. Jangan sedih bila orang kutuk, keji kita. Kita hidup untuk Allah sayang. Kita buat apa pun untuk Allah sayang."

Video ustaz Ebit Lew bermain di skrin telefon. Tamat video, skrin kembali ke paparan sembang aku dan Amir.

Cliche sangat. Detik hatiku. "Thanks." Aku tetap menghargai usaha dia berkongsi video tersebut supaya aku bermuhasabah tentang tujuan hidup pada saat aku dah tak nampak what's the point belajar bersungguh-sungguh lagi macam dulu.

Mana lagi menyentuh hati - antara video itu dengan keberadaan dia?

Mestilah yang kedua.

**

Hari demi hari, tiada perubahan. Tetapi Amir tetap ada untuk aku melepaskan sisi yang aku tak boleh nak tunjuk di hadapan orang lain.

Malam Ramadan. 3 pagi. "Banyakkanlah baca Quran, tau?" Amir pesan dari tempat duduk pemandu. "Para ulama paling banyak baca Al-Quran masa Ramadan. Bila mereka buat begitu, bermakna adalah kelebihan amalan itu pada bulan ini."

Kereta Amir melepasi satu bangunan kediaman. Gelap gelita seperti langit di atasnya tetapi kelihatan beberapa lampu masih bercahaya. "Kau dah cari maksud mikrokosmos?" Aku bertanya tanpa hiraukan topik yang jauh berbeza.

Dia memandang aku sekilas daripada cermin pandang belakang. "Belum."

Kenapa tak cari? Kau tak tahu menghargai puisi yang aku susun untuk kau? "Oh." Keluhan panjang aku simpan sendiri. Macam biasa. "Maksud dia, macam bangunan tu. Setiap lampu menandakan kewujudan satu jiwa. Ada yang bersengkang mata kerana pelajaran. Ada yang menguruskan anak, atau hal kerja. Setiap jiwa mempunyai satu kehidupan yang berputar hanya sekitar jiwa itu. Kalau diperhatikan, lampu-lampu itu macam bintang di angkasa juga. Macam alam semesta... Kosmos. Cuma dalam entiti yang lebih kecil. Mikro-kosmos."

"Wow..." Amir kelihatan kagum. "Yang ayat akhir dalam puisi tu, apa maksudnya? Mi casa es tu casa?"

Senyap. Macam biasa juga, Amir tak memaksa. Dan dia terus memandu meskipun tiada arah tuju malam itu. Kecuali satu - menemani aku.

Mana lagi menyentuh hati - nasihat dia atau pengorbanan dia bersengkang mata untuk pastikan aku tak buat benda bodoh?

You know the answer.

**

Rindu.

Aku mula menatal mesej-mesej lama.

"Kita hidup untuk Allah sayang."

Suara yang sama mengulang. Tapi kali ni, si penghantar sudah tiada untuk aku macam dulu. Telefon ditutup. Mata aku tertumpu kepada Al-Quran.

"Banyakkanlah baca Quran, tau?"

Suara itu hanya tinggal memori. Nasihat yang akan terus pudar dan hilang andai aku tak jadikan realiti.

"Sehari satu juzuk. Kalau boleh, up kan lagi jadi dua juzuk." Mesej whatsapp dia pula muncul dalam kepala. Aduh... Banyak sangat tu. Mampu ke aku?

Well. A try won't hurt, I guess?

**

Buku Hiduplah Untuk Hari Ini sampai di rumah. Hadiah konvokesyen daripada seorang sahabat dari Mesir. Macam-macam pesanan klise terbuku dalam tu.

"Teruslah semangat untuk masa depan. Sentiasa bersyukur."

Tengah pandemik. Nak semangat pun tak pasti boleh bawa ke mana.

Penanda buku diletakkan di celah-celah halaman, kemudian tersimpan bersama buku baru itu.

Mana yang lebih menyentuh hati - kandungan buku itu atau niatnya untuk meraikan aku?

Same old.

**

Hening. Bilik aku gelap macam biasa. Entah kenapa, malam itu terasa sunyi yang teramat sangat. Kebanyakan kawan pula sedang sibuk, lupakan saja niat untuk jadikan mereka teman berbicara.

Aku membuka wattpad. Contengan Jalanan karya Hlovate, Ramadan Excerpts.

"Orang beriman melihat hari di hadapannya sebagai satu kesempatan untuk meraih cinta dan redha Allah serta mendapatkan syurga. Setiap hari adalah kesempatan. Kesempatan untuk meraih redha dan syurga Allah."

Terkebil-kebil aku mengulang baca ayat itu. Sekali. Dua kali. Tiga kali. Rasa... sesuatu.

Sejak episod perkenalan dengan Amir lagi aku sudah berhenti mengucapkan alhamdulillah setiap kali bangun tidur. Tiada apa lagi untuk disyukuri pada hari yang baru. Tiada apa yang melegakan dengan peluang lagi satu.

Aku cuma ingin semuanya berakhir. Pantas.

Petikan tadi mempunyai mesej yang sama dalam buku Hiduplah Untuk Hari ini, kecuali ia terasa seperti menyentuh lubuk hatiku lebih dalam pula kali ini.

Sekali lagi, tanpa keberadaan si pemberi di sisi.

**

Tuhan meninggalkan pesanan melalui teman-teman dan helaian-helaian. Seperti air yang menitik ke atas batu tanpa henti, akhirnya membentuk jua suatu rupa yang baru. Mujur saja hatiku bukan daun keladi.

Kini, pegangan hakiki terpasak lebih teguh. Cinta dan redha Allah sebagai tujuan utama. Destinasi akhir, tidak lain tidak bukan mestilah syurga.

Dan jalan menuju ke sana - hate it or love it - adalah kehidupan. Di sini. Setiap hari.

Setiap detik. Setiap peluang. Setiap kesempatan.

Terima kasih, Tuhan, atas waktu dan pesanan.