Showing posts with label dunia. Show all posts
Showing posts with label dunia. Show all posts

Tuesday, 3 September 2019

Cukup

**

"اللهم أعني على ذكرك وشكرك وعلى حسن عبادتك"

**

Dulu, entah kenapa, aku rasa ragu-ragu untuk mengamalkan doa ini. Akal yang masih sempit membisikkan rasa takut andai doa tersebut menyebabkan rezeki aku semakin berkurangan (silly, i know). Walhal rasa syukur dan mengingati Tuhan itu boleh datang dalam bentuk yang pelbagai, termasuk nikmat dan kemewahan. Doa ini bukan perihal rezeki, tetapi reaksi terhadap rezeki.

Suatu hari, aku sedang sibuk menulis skrip untuk satu video yang bakal diterbitkan oleh salah seorang sahabat aku. Pintu bilik ditutup rapat dan dikunci dek kebisingan di ruang tamu yang agak menganggu fokus. Tema video tersebut ialah, happiness.

Kebahagiaan.

Aku meneliti isi yang disenaraikan lalu mengolah mesej tersebut dalam bentuk penceritaan. Sampai di bahagian hampir akhir, jari aku terhenti.

Apa sebenarnya kebahagiaan?
What is happiness?

Apa yang aku nak sampaikan melalui video ini? Jawapan yang mereka perlu cari sendiri, atau sepatutnya aku memberi jawapan?

Satu persatu tanda tanya muncul dalam kepala. Penceritaan yang tadi telah kemas ditaip, aku baca semula. Jika tadi aku hanya fokus untuk menterjemah dan bercerita, kali ini aku menganalisa setiap bait perkataan yang ingin disampaikan. Melihat gambaran yang lebih besar, satu perkataan muncul dalam minda aku.

Contentment.

Rasa cukup. Atau istilah islamiknya, qana'ah. Apa yang membuatkan kita tidak gembira, kebanyakannya adalah kerana kita berasa tidak cukup. I need more. I deserve better. Why does this happen to me? Bisikan-bisikan yang membuatkan hati kita resah. Jiwa kita kosong.

Menulis skrip itu, pintu hati aku terasa seperti diketuk lembut. Ya, bersyukur untuk bahagia itu adalah sesuatu yang cliche dan biasa disebarkan dalam status-status WhatsApp, Facebook, dan Instagram. Kata-kata tersebut sudah seperti mantra yang diterapkan dalam kumpulan-kumpulan "budak agama". Tetapi, menemui sesuatu atas tindakan orang lain berbanding dengan menyedari sesuatu atas usaha kerja minda sendiri, berbeza rasanya. Maka, pada solat seterusnya, aku menambah satu lagi doa dalam rutinku.

"Ya Allah, Kau bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan memperbaiki ibadahku kepada-Mu."

Aku tidak minta harta dan kemewahan. Aku tidak minta nama dan kecantikan. Aku hanya ingin cukup. Syukur.

Kerana aku hanya ingin bahagia.

Monday, 29 July 2019

Kelabu

Ada orang sangat organize dan siapkan kerja awal, supaya masa untuk memperbaiki kerja itu lebih banyak.
Ada orang buat kerja last minute, tapi masih menyiapkan amanah dengan baik.

Dua-dua pun tak salah.

Yang salah adalah orang yang tak reti nak faham orang lain dan push orang untuk ikut cara dia sahaja.

**

Ada orang yang termotivasi apabila di 'psycho'.
Ada orang yang semakin berundur. Untuk apa hidup atas aras orang yang tidak mampu untuk berhikmah, fikirnya.

Dua-dua pun tak salah.

Yang salah adalah orang yang mudah mengatakan orang lain lemah kerana tidak dapat menerima cara dia memberi "motivasi" dengan balaghah.

**

Ada yang menyampaikan dakwah sambil meluangkan masa tertentu untuk memantapkan tarbiah.
Ada yang hanya ingin fokus mentarbiah diri. Berdakwah sekadar akhlak, dek risau andai kata-kata yang diberi belum mampu dia hadapi jika diuji.

Dua-dua pun tak salah.

Yang salah adalah orang yang memperlekehkan usaha dan cara orang lain memperbaiki diri.

**

Ada orang sambung belajar, kerana kunci perubahan kehidupan pada dia adalah ilmu.
Ada orang terus bekerja, kerana percaya bahawa ilmu itu bukanlah sekadar sekolah dan buku.

Dua-dua pun tak salah.

Yang salah adalah orang yang membanding-bandingkan kehidupan manusia sedangkan tiada satu pun antara kita yang betul-betul sama.

**

Dunia ini bukan semata-mata hitam dan putih.
Tetapi, kelabu.