Thursday, 24 April 2025

Urusan

"Anna beli lauk mahal, makan sekali je?" tanya ibu pagi tadi.

Aku tahu dia sudah menunggu dari petang semalam, sejak aku pulang kerja. Selalunya, aku akan makan petang sambil berborak bersama ibu sehingga solat Maghrib. Tapi semalam, aku tak keluar dari bilik hingga pagi ini, untuk pergi kerja lagi. 

Aku senyum nipis. "Penat. Dah baring atas katil, rasa malas nak bangun balik." Aku hirup kopi. "Tak apa, ibu ayah makan la lauk tu. Nanti habis, Anna belikan lagi." 

"Tak mahulah. Jemu." Gurau ibu. "Kerja tu, jangan terkejar-kejar sangat. Tenang-tenang saja. Cepat-cepat memang penat." Nasihatnya lembut.

Aku bersandar di kerusi. "Penat terkejar-kejar. Penat juga tahan marah. Nak bagi ayat tajam, tak sampai hati. Nak memaki, lagi la tak reti." Keluhan meluncur keluar.

"Sebab itu ada pahala bersabar dengan kerenah orang. Ibadah bersendirian, senang. Solat, cuma dengan sejadah. Mengaji, cuma dengan Quran. Tiada perangai untuk kita tahankan. Tapi berurusan dengan manusia, tidak. Diuji dengan hati sendiri. Diuji juga dengan hati orang lain." Ibu pesan. "Banyakkan selawat. Kadang-kadang selawat boleh bantu lembutkan hati manusia dan permudahkan urusan kita."

Pesan itu, persis hyung.

Selawat dan surah An-Nashr, antara yang pernah dia titipkan dulu.

Aku berfikir dua kali. Sebelum beramal, penting untuk aku perbetulkan niat terlebih dahulu. Kerana Dia berfirman:

"Ada antara manusia yang berkata: 'Wahai Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia!' Mereka diberikan kebaikan di dunia dan tidak ada bagi mereka sedikit pun daripada kebaikan di akhirat." (2:200)

Pengalaman merupakan sebaik-baik guru. Impikanlah apa saja daripada dunia, sertakan dengan istiqamah, pasti aku akan dapat. Namun adakah cukup dengan tujuan dunia sahaja? Adakah aku harus iyakan tipu daya syaitan yang berkata: "Tak apa, masih ada pahala beramal walaupun dengan tujuan dunia. Allah Maha Mengetahui dan Dia bukanlah kedekut." sedangkan Tuhan sudah berfirman betapa sia-sianya niat begitu.

Ayat tadi dilengkapkan dengan perbandingan pada ayat seterusnya:

"Dan di antara mereka pula ada yang berkata: 'Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.' Mereka itulah yang akan mendapat bahagian baik daripada apa yang telah mereka usahakan, dan Allah amat cepat perhitungan-Nya." (2:201-202)

Jika aku ingin lebih kerap berselawat, aku mesti sertakan dengan niat akhirat. Agar amalan tersebut tak putus walaupun urusanku tak dipermudahkan dan hati-hati mereka tidak dilembutkan. Kerana dunia bukan lagi satu-satunya tujuan. Mungkin, yang akan menjadi lebih baik daripada amalan tersebut bukanlah situasi luaran, tapi apa yang ada dalam diri kita sendiri. Dan ia adalah lebih berharga daripada segala yang berlaku di luar sana. 

Pesan ibu aku sematkan dalam jiwa. Moga-moga Tuhan sudi menerima usaha kita. 


No comments:

Post a Comment