Tuesday, 29 April 2025

Maruah

"Minta saja lah kawan-kawan tolong bawakan. Yang penting jangan tinggal bawah meja." Kata cikgu itu. Di matanya, aku yang mengada-ngada tak mahu meminta tolong walaupun tak mampu mengangkat buku-buku ke sekolah. Kalau dah peraturan, ikut sajalah. Orang lemah tak sepatutnya ada kemewahan untuk rasa malu dan bermaruah. 

Tapi aku tak dididik begitu.

"Jangan harapkan orang lain. Kita kena pandai hidup sendiri. Tak ada kawan, tak apa, daripada ada kawan yang membawa keburukan." Pesan ibu. Waktu itu, aku dipulaukan kerana ayah cuma seorang penjual ikan. Umur aku, 10 tahun.

Aneh — mungkin pandangan mereka — melihat orang-orang sakit dan miskin hidup seperti mereka juga punya harga diri. Kelihatan sombong dan bodoh barangkali, apabila hidup tak sepadan dengan realiti. Miskin tapi tak terdesak berkawan. Sakit tapi tak terdesak meminta pertolongan. 

Di bilik pinjaman buku teks, aku hulurkan sejumlah wang denda. Kata-kata cikgu sekadar aku balas dengan keluhan ringan. Dia punya beberapa pilihan. Pertama, mewujudkan sistem yang meringankan beban pelajar sakit dan membolehkan kami hidup seperti pelajar lain. Kedua, bersimpati dan berbudi bicara walaupun dia tak mampu menyentuh sistem sedia ada. Ketiga, menyalahkan pelajar walau apa jua situasinya.

Dan dia telah membuat pilihan yang paling senang.

Adakah dia pengecut? Adakah dia malas? Adakah dia juga seorang dewasa yang suka berhutang dan susahkan orang, hingga tanpa rasa bersalah ingin mengajar aku menjadi sepertinya?

Aku tak dididik untuk meminta-minta.
Melainkan kepada-Nya. 

Apabila kau tak meminta kepada sesiapa melainkan Allah, adakah kau kira Dia akan mengabaikanmu? 

No comments:

Post a Comment