Wednesday 10 January 2024

Watermelon and Shark

"Kalau sampai ada orang viralkan aku masuk sini, confirm aku dipanggil hipokrit." Ujar gadis bertudung labuh itu sambil kakinya melangkah masuk ke McDonald's pada musim boikot demi Palestin.

Dia ditemani seorang lagi gadis berambut panjang, memakai sweater dan topi beanie. Cuaca yang sejuk pada hari itu membolehkannya berpakaian sedemikian. Gadis itu tidak mengikat rambutnya. Walaupun sedikit rimas, sengaja dia biarkan rambutnya lepas demi menyembunyikan alat pendengar di telinganya. "Untunglah pahala seketul Amani bertambah. Dah lah jihad secara rahsia, kena fitnah pula." Dia bergurau.

"Nanti aku akan kongsi gambar aku dengan kau banyak-banyak. Biar orang kenal sekali seorang Sera sebagai kawan baik si hipokrit. Untung rugi hari ini harus kita kongsi bersama, tak begitu?" Amani membalas. 

Sera menggeleng. "Semoga tak rugi." Nadanya mula serius.

"Amin. Let's make it work today."

Mereka berdua mula melihat sekeliling bagi mencari sebuah meja kosong. McD sedang penuh dengan anak-anak muda pada hujung minggu. Mujur ada satu meja kosong berdekatan penjuru. Mereka berjalan ke situ dan meletakkan beg galas masing-masing. Amani duduk, membuka komputer riba dan sebuah buku bertulisan Arab. Sambil berdiri, Sera turut membuka beg galasnya, mengeluarkan komputer riba dan menghidupkannya. Dia kemudian berjalan ke kaunter pesanan dengan telefon bimbit di tangan.

"Makan sini atau bungkus?" Pelayan lelaki yang bertugas di situ bertanya.

"Makan sini." Sera menawarkan satu senyuman manis. "Saya nak tebus point saja. Burger ini dua, kek dua, ice cream satu. Oh, dan air ini dua." Skrin telefon ditunjukkan kepada pelayan.

Lelaki itu tersengih. "Banyak point. Pelanggan setia ya."

Sera mengangguk. "Saya ingat hari ni saya nak bertaubat la..." Matanya mencari tanda nama lelaki itu, "Adam. Tapi ya lah, manusia hanya mampu merancang."

"Betul." Jawab Adam ringkas. Barangkali dia sebenarnya tiada kapasiti untuk memahami lapisan makna yang lebih dalam. Selepas menekan beberapa butang di mesin pesanan, Sera diminta untuk duduk terlebih dahulu sementara menunggu nombornya muncul di skrin ‘pesanan untuk diambil’.

Sera berjalan semula ke meja Amani dan duduk berhadapan gadis itu. "Dah-dah la tu baca kitab Arab, ustazah."

"Kitab arab ni la aksesori paling berguna, tahu?" 

Sera mula mengunyah gula-gula getah kesukaannya. Badannya didekatkan ke meja. "Shark's on?" Dia bertanya perlahan.

Amani mengangguk dan tersenyum. "Liar dia menggigit. Banyak dah jadi zombie kat sini.”

Shark yang dimaksudkan Sera ialah aplikasi Wireshark, penghidu rangkaian lemah yang bersambung dengan wifi palsu menyerupai McD rekaan Amani di kawasan itu. Selepas menghidu, misinya adalah untuk menggodam dan mengumpulkan seberapa banyak mungkin gajet sebagai ‘tentera’ untuk dia melumpuhkan target utama. Tentera ini dipanggil ‘zombies’.

Anak mata Amani melirik ke arah satu persatu alat yang dibawa oleh para pelanggan di situ. Jam tangan canggih, fon telinga berwayar, telefon bimbit, airpods dan lain-lain mesin. “Seekor zombie ada betul-betul kat belakang kau. Haaa takut tak?" Amani berseloroh.

"Gila pantas kau buat kerja." Puji Sera.

Amani tak membalas apa-apa. Dia kembali fokus ke laptopnya. 

Sera turut melayari internet di perantinya, namun tangan kiri bermain-main dengan satu ‘senjata’ di sebalik sweater.

Amani akhirnya mengangkat wajah. Pandangannya dan Sera bertaut. Mereka berbalas senyuman.

"Kenapa order tak masuk ni?" Keluhan pertama kedengaran.

Skrin restoran yang memaparkan nombor pesanan mula tersekat-sekat. Dan akhirnya mati.

"Baru servis minggu lepas, dah rosak. Tak pandai buat kerja ke orang teknikal ni? Kau ada salah tekan apa-apa ke ha?" Seorang pengurus kelihatan marah-marah.

"Tu, pergilah jadi penyejuk mata dia. Kasihan aku tengok." Amani mengusik Sera.

Sera memberi riak 'mahu muntah'. Tapi dia terus berdiri dan menyentuh alat pendengarnya. "You hear me good?"

Amani mengangkat ibu jari.

Sera berjalan lagi ke kaunter. "Makanan saya dah siap, Adam?"

"Sorry cik, sistem problem. Tunggu sekejap lagi ya."

"Problem apa tu?” Dia buat-buat tak tahu. Kepalanya menoleh ke skrin dan pura-pura tersedar. “Oh… Isu teknikal ini. Saya pernah kena juga masa kerja KFC dulu." Walaupun seumur hidupnya tak pernah bekerja di restoran. "Berguna jugalah ilmu IT saya. Nak saya tolong?" Kali ini, soalan itu ditujukan kepada pengurus yang membebel tadi. Sekilas dipandang tanda namanya — Zaini. Memanggil seseorang dengan namanya ialah kemahiran sosial yang dia suka gunakan. 

Zaini kelihatan teragak-agak. “Awak? Perempuan? Boleh buat ke?”

“Ish, jangan dipandang sebelah mata hanya kerana saya wanita, Encik.” Sera memetik lirik suatu lagu. “5 minit saya jamin settle. Encik Zaini tak payah bayar apa-apa. Cuma nanti sediakan makanan saya dulu walaupun nombor saya selang lagi 5 orang. Lapar ni.”

Zaini mengeluh. Dia mengira-ngira sama ada mahu memanggil syarikat teknikal luar yang akan sampai entah bila, atau mempercayai seorang pelanggan yang entah siapa-siapa. “Bolehlah. Cepat sikit, ramai pelanggan tunggu.” Dia akhirnya membenarkan.

Sera memberi isyarat 'salute'. Zaini mengiringinya ke komputer utama dalam satu bilik di bahagian belakang kaunter. Sambil berjalan, dia berbisik ke Amani melalui alat pendengar di telinga. “Make a countdown, baby. It’s resistance time.”

Encik Zaini terlebih dahulu tiba di komputer utama dan menutup semua tetingkap yang tak berkenaan, sebelum memberi ruang untuk Sera mengambil alih. Sera membongkokkan badan, menekan beberapa butang rawak yang sejujurnya tidak bermakna apa-apa. “Encik Zaini, tengok sini, lain kali kena buat macam ni.” Dia sengaja membuat pengurus itu fokus ke skrin komputer sambil tangan kirinya senyap-senyap mencucuk ‘senjata' tadi ke CPU.

Sebatang USB mengandungi RAT. Itulah senjatanya. Trojan kawalan jarak jauh ciptaan Amani yang boleh mengambil alih sesuatu sistem dalam masa 10 saat sahaja.

Sudah tentu Sera menyelesaikan ‘isu teknikal’ itu lebih daripada 10 saat. Sekitar 3 minit, dia menyudahkan lakonannya bagi sesi itu. “Cuba restart balik mesin depan tu, dah okay tak?”

Zaini segera menyuruh seorang staf melakukan apa yang Sera minta.

“Alhamdulillah! Dah okay!” Jawab staf itu. Staf-staf lain juga kelihatan lega.

Sera keluar dari bahagian belakang kaunter dan pergi ke hadapan Adam. “Jangan lupa, order saya. Kalau boleh bagi free ais krim, lagi bagus.” Sera bergurau.

“Baik, saya siapkan sekarang. Terima kasih ya.”

"Sama-sama." Sera terus menuju ke tempat duduknya.

“Pilih satu nombor.” Amani bersuara setelah Sera duduk di hadapannya.

“In range?”

“240.”

Sera ambil masa berfikir. “89.”

Amani senyum segaris.

“Nak countdown lagi?”

Amani menggeleng. ”Aku nak tunggu pengurus kesayangan kau ke sini.” Matanya memandang satu sosok yang sedang berjalan ke arah meja mereka.

Berbanding dipaparkan nombor giliran dan ambil pesanan sendiri di kaunter, Zaini sendiri yang datang membawa sedulang makanan untuk Sera.

Pengurus itu tiba di meja mereka dan meletakkan makanan satu persatu. “Terima kasih sekali lag—” kata-kata Zaini terpotong dengan jeritan seorang wanita.

Bukan dari meja lain. Bukan dari luar restoran. Tapi dari skrin pesanan. Satu video peperangan Palestin dimainkan dengan sangat kuat. Hingar bingar perbualan dan bunyi mesin air restoran terhenti. Semua pelanggan dan staf menghalakan pandangan ke arah skrin. 

“Oh, my… Kalau macam ni, saya tak mampu tolong, Encik Zaini.” Ujar Sera sambil mengangkat tangan tanda menyerah.

Pandangan Zaini masih melekat pada skrin. Wajahnya bercampur terkejut, marah dan keliru. Beberapa orang staf mula menunduk malu. Para pelanggan teragak-agak mahu meneruskan santapan mereka. Ada yang menggeleng kepala dan keluar dari tempat itu.

Sera mendapat ilham menambah perisa. Dia berdiri lalu menyimpan komputer ribanya ke dalam beg. “Encik Zaini bagilah staf-staf Encik makan order saya ni.” Katanya dengan suara yang kuat. “Saya tak biasa makan benda tercemar, apatah lagi yang tercemar dengan darah saudara sendiri. Saudara kemanusiaan kita.” Ucapnya selamba. “Dah beb, jom. Beli burger bawah pokok sebelah simpang tu sedap juga.”

Kedua-dua mereka bergerak keluar.

Misi berjaya.

Ada 239 video lagi untuk dimainkan di skrin tersebut. Cukup untuk membasuh moral sesiapa sahaja yang berada di situ selama 12 jam. 

“Bayangkan ada yang cerita, ‘Wanita bertudung labuh diselamatkan oleh Tuhan daripada makan McD. Keajaiban skrin memainkan video Palestin apabila dia berada di situ, Subhanallah.’” Amani berimaginasi lagi. 

Sera ketawa terbahak-bahak. “Kalau sampai ada orang viralkan kau, bagi aku chance pula guna senjata aku.”

“Tak payah tunggu viral. Next week kita buat Starbucks. Lusa start usya. Jangan kacau aku esok. Esok aku nak marathon kdrama.”

“Ya lah member penat kawal jerung liar hari ini. Esok aku survey kawasan tu seorang pun boleh. Kau self-reward lah puas-puas.”

No comments:

Post a Comment