Sunday 21 July 2024

Pilihan

“Apa ni, kak? Akak kata rumah ni untuk wanita sahaja. Kenapa tiba-tiba ada lelaki sewa bilik tu pula?” Ujar Lia dengan telefon bimbit di telinga. 

“Dalam perjanjian, ada tulis ke rumah ni tak boleh disewakan kat lelaki? Takde.” Balas tuan rumah itu di hujung talian. “Ini rumah aku, suka hati aku lah nak sewakan kat siapa. Kau tak suka, kau boleh keluar.”

Lia terdiam. Tuan rumah itu terus mematikan panggilan. Lia menarik nafas dalam-dalam untuk bertenang. Otaknya ligat berfikir bagi mencari penyelesaian masalahnya sekarang. Dia sedang dalam pelarian daripada suaminya yang baran. Dengan kerja separuh masa di sebuah stesen minyak, bilik ini satu-satunya tempat yang dia mampu sewa di kota Johor Bahru. 

Malam itu, Lia menghubungi Katty. Dia nekad untuk keluar meskipun deposit tidak akan dipulangkan kerana belum cukup tempoh sewaan iaitu setahun. Traumanya masih terlalu segar, menyebabkan dia tidak boleh tinggal sebumbung dengan mana-mana lelaki.

Sayangnya, Katty tidak dapat dihubungi pada waktu itu. Suara garau penyewa baru sudah kedengaran tertawa di dapur, barangkali bersama penyewa-penyewa perempuan yang lain. Lia tidak berfikir panjang; dia terus berkemas dan membuat keputusan untuk bermalam di kereta buat beberapa hari. Dia sudah pernah hidup begitu sebelum mendapat kerja di stesen minyak. Membersihkan diri di masjid atau stesen minyak, dan tidur di dalam kereta. Asalkan hidup, itu saja harapannya. 

Mujur hanya satu malam itu sahaja dia perlu menjadi gelandangan. Katty menghubunginya kembali dan sudi menumpangkan biliknya secara percuma.

“Sorry doh Lia, bilik aku kecik je. Tapi kau buatlah macam rumah sendiri. Aku jarang balik pun.” Katty tersengih sambil menyambut Lia di pintu. 

Lia melangkah masuk sambil mengangguk. “Takpe, aku pun nak tumpang sementara je. Thanks, Kat.”

Katty membantu Lia menyusun beberapa barangnya. “Lama-lama pun aku tak kisah. Aku janji tak libatkan kau.” Dia membuat simbol sumpah atau ‘cross my heart’ dengan jarinya. 

Lia memahami maksud Katty. Wanita itu mempunyai dua kerja; pelacur dan pengedar dadah. Menurut Katty, dia baru sahaja diterima masuk ke satu organisasi baru. Jadi, dia harus bekerja dengan lebih kuat bagi membuktikan dirinya.

***

Pelanggan kafe tidak ramai pada petang itu. Lia berdiri santai berdekatan kaunter sambil bermain telefon bimbit. Hidupnya kini lebih stabil. Kerja baru sepenuh masa di kafe yang menyediakan hostel, dia tidak lagi perlu risau menjadi gelandangan.

Usai membalas satu mesej daripada adiknya, loceng kecil di pintu kafe kedengaran menandakan seorang pelanggan baru masuk. Seorang perempuan muda — kelihatan seperti remaja atau awal dewasa — masuk bersendirian. Dia mengambil tempat duduk di suatu sudut di tepi dinding, jauh daripada pelanggan-pelanggan lain. 

Lia mengambil buku nota kecil dan sekeping menu lalu berjalan menuju ke pelanggan itu. “Selamat datang ke Paradise Cafe, boleh saya ambil pesanan?” Tanya Lia dengan senyuman yang tak lekang di bibir.

Perempuan itu mengangkat kepala untuk memandang Lia. Matanya mengimbas uniform Lia seolah-olah mencari sesuatu. “Awak…” Suaranya teragak-agak. “Awak Lia ke?”

Lia menurunkan buku nota. “Ya, saya.” Jawabnya. “Macam mana boleh kenal?” Lia sudah bersedia untuk beredar kerana risau andai wanita itu adalah kenalan suaminya yang dihantar untuk mencarinya. Kini sudah masuk tahun kedua dia bersembunyi. Walaupun sudah mempunyai isteri baru, entah kenapa lelaki itu masih tidak mahu melepaskannya.

Menu diletakkan ke tepi. “Boleh duduk sekejap?” Tanya pelanggan itu perlahan tanpa menjawab soalan Lia.

Lia mahu membalas bahawa dia sedang bekerja, tapi ada suatu keterdesakan di mata wanita itu yang membuatkan Lia menyahkan syakwasangka. Lia duduk di hadapannya. “Awak siapa?” Tanya Lia lembut. 

Wanita itu berambut perang, dibiarkan lepas ke paras dada. Dia memakai baju kemeja biru dan berseluar jeans, wajahnya cantik, sedap mata memandang. Lia fikir, kalau wanita itu dihantar untuk mencarinya, tak mungkin dia akan terus terang bertanya nama atau memintanya duduk begitu.

“Saya Tasha… anak Roy.” Dia menjawab.

Lia tersandar di kerusi. Sedikit terkejut tetapi cuba mengawalnya. Dia memandang sekeliling.

“Jangan risau, anak-anak buah papa tiada di sini.” Ujar Tasha seolah-olah memahami.

Roy ialah ketua organisasi Katty, merangkap gengster paling digeruni di bandar itu. Dia seorang melayu, tetapi gengster berkaum india yang dilihat lebih kuat juga berada di bawah kuasa Roy. Jaringan kenalannya malah melangkaui dunia gelap — beberapa individu penting dalam jabatan polis dan mahkamah turut mendapat habuan daripada aktiviti jenayahnya dengan harga mata dan hati yang buta. 

Katty pernah bercerita, bahawa jika lelaki itu masuk ke kelab malam untuk mencari seseorang, muzik akan terus terhenti dan individu yang dicari akan terus dicari dan diserahkan tanpa banyak soal. Tasha juga sering dibawa ke tempat-tempat aktivitinya — kelab malam, restoran mewah, mahupun lorong gelap. Perempuan itu tidak pernah dipaksa untuk terlibat dalam pelacuran, pengedaran dadah, bisnes hutang atau penyeludupan senjata mahupun manusia. Namun gaya hidupnya sudah cukup untuk membuat semua orang melihat dirinya sebagai perempuan jahat.

“Lia… Saya nak minta tolong.”

Lia berkerut. Dia tiada apa-apa kaitan langsung dengan Roy. Apa yang boleh dia tolong?

Dan yang paling penting, apa risikonya?

“Dekat sini tengah ada kerja kosong kan? Ada sediakan hostel sekali, betul?” tanya Tasha.

“Betul.” Jawab Lia sepatah.

Tasha mengetap bibir. “Tolong saya… Tolong sembunyikan saya dekat sini.” Suaranya hampir seperti seorang yang merintih. “Saya nak hidup macam orang lain. Saya taknak hidup dengan papa lagi.” Matanya mula merah. “Lia ada dengar apa yang dia buat pada Sofea?”

Lia mengangguk perlahan.

Sofea, adalah satu-satunya kawan Tasha. Atau lebih tepat, bekas kawan. Roy tidak suka Tasha berkawan dengan sembarangan orang kerana risau musuh-musuhnya akan ambil kesempatan. Apabila mendapat tahu tentang Sofea, konco-konco Roy pergi ke rumah perempuan itu untuk mengugutnya. “Jangan dekat dengan Tasha lagi.” Kata salah seorang anak buahnya sambil mengacukan pistol di kepala Sofea.

Tasha tidak mampu lagi menahan air mata setelah menyebut nama kawannya. Dia menangis. Lia menghulurkan tisu dan memberikannya ruang.

“Saya bukan perempuan jahat, Lia. Saya nak berubah. Papa tengah kat dalam penjara. Saya rasa ini je satu-satunya peluang yang saya ada.” Luahnya sambil sedu sedan.

Lia mengeluh kecil. ‘Sungguh naif’, detik hatinya. Apa maksud penjara kalau polis sendiri berada di bawah telunjuk bapanya?

Seperti bermulut masin, telefon Tasha berdering. Satu nombor tak dikenali terpapar. Tasha berdehem bagi mengawal suara sebelum menjawab panggilan tersebut.

“Hello?” Langsung tidak kedengaran sisa tangisan pada suaranya.

“KAU DEKAT MANA TASHA?” Jerkah Roy.

Tasha kelihatan sedikit menggeletar. Dia hanya membisu. Matanya melilau ke arah sekeliling.

Lia sekadar mendengar dengan teliti, bersandar sambil menyilangkan tangan walaupun dalam diam dia juga turut panik. Namun dia adalah yang lebih dewasa dalam situasi ini. Dia tidak boleh kelam kabut sekarang.

“Anak buah aku cari kau merata tempat takde! Baik kau balik sekarang sebelum aku sendiri heret kau!!!” Sambung Roy.

“B-baik, papa.” Jawab Tasha perlahan. Panggilan dimatikan.

Suasana senyap seketika. Tasha kelihatan betul-betul tidak menyangka bahawa bapanya masih berkuasa di dalam penjara.

Lia sudah maklum tentang hal itu. Kasta wujud di mana-mana; apatah lagi polis Johor Bahru memang sudah ada dalam genggaman Roy.

“Duduk sini diam-diam. Ambik masa bertenang. Aku buatkan air sekejap.” Ujar Lia. 

Tasha cepat-cepat menarik lengan Lia yang baru hendak berdiri. Dia memandang Lia dengan mata yang terdesak. Nampaknya perempuan itu enggan tunduk dengan ugutan bapanya. 

Simpati menyusup ke hati Lia. Dia sangat faham dengan rasa ingin lari. Namun dia juga tahu, bahawa hidup melarikan diri bukan mudah.

Lia membatalkan hasrat untuk ke dapur kafe dan duduk kembali. Dia mengusap tangan Tasha. “Kau… mengingatkan aku dengan adik aku.” Giliran Lia berbicara. “Aku tahu semuanya pasal kau, Tasha. Semuanya pasal Roy. Tapi kau tak tahu apa-apa pasal aku, kan?” Dia melepaskan tangan Tasha. “Aku ada adik, ada ibu ayah. Aku faham keadaan kau… Tapi aku harap kau pun faham keadaan aku.”

Tasha seperti sudah dapat mengagak jawapan tuntas Lia.

“Kalau aku sembunyikan kau, bukan aku je yang Roy akan cari, tapi family aku sekali. Aku minta maaf, Tasha. Aku taknak tengok family aku kena acu pistol kat kepala diorang… macam yang jadi pada Sofea.”

Tasha menekup muka. Dia menunduk, bahunya mula terhenjut-henjut walaupun tangisannya tidak kuat.

Lia perlahan-lahan bangun dan meninggalkannya.

***

“Kata takde boyfriend baru, tapi asyik bunyi je handphone tu?” Rin menyenggol Lia sambil mengambil tempat duduk di sebelah kakaknya di sofa. Bukan selalu Lia balik ke kampung. Jadi, masa tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk mengusik kakaknya. 

“Kau diamlah dik.” Lia membalas. Dia mengesot ke tepi sedikit bagi memberikan ruang untuk Rin duduk dengan selesa. Telefon bimbit dihulur ke adiknya. “Ingat Tasha?”

Rin sekadar menatap skrin telefon itu tanpa mengambilnya.

‘Aksi Tembak Menembak di Johor Bahru, Dua Penjenayah Maut.’

Sebuah tajuk artikel berita terpapar. Rin membaca sekali lalu dan tersengih. “Inna lillahi wa inna ilaihir raji'un.” Dia bertepuk tangan. “And wow, finally!” 

Lia mengambil semula telefon bimbitnya. “Polis Bukit Aman.” Maklum Lia. 

“Makes sense. JB police could never.” Rin mencebik.

“Ramai orang mesej akak nak bagitahu dia dah mati. Itu yang bising handphone ni.” 

Ring mengangguk faham. “Tapi kan… How's the situation again?” Dia memanjangkan kepala untuk cuba membaca semula berita tersebut.

“Drug deals. Roy dengan orang kanan dia. Balik tu polis follow, and the rest is history.”

Rin meletakkan jari di dagu, seolah-olah berfikir. “Evidence on the scene. And the dead can't talk. Too convenient, don't you think?”

Lia berkerut. “Suggest apa?”

“What… impressions did you get from Tasha?” Tanya Rin secara rawak.

Lia cuba mengingati semula pertemuannya dua bulan lalu. “Berani. Naif. Dan cantik gila.”

“Bijak?” Rin mencadang.

Lia angguk.

Rin tersenyum.

“Kejap… Takkanlah.” Lia memandang adiknya dengan ekspresi tak percaya.

“Sis, mamat ni dah kebal berapa tahun dah, dalam penjara pun dia bertahan. Tapi tiba-tiba polis luar selesaikan dengan hampir sempurna dalam tempoh dua bulan? What kind of privilege does the ‘insider’ have, don't you think?”

Lia diam seketika untuk berfikir. Rin betul. Tak mustahil Tasha yang mengkhianati organisasi bapanya sendiri. Siapa yang dia boleh usahakan untuk meminta pertolongan? Siapa yang lebih berkuasa daripada polis negeri sendiri?

“You know I'm right.” Rin terus tersengih. “I hope she's alright though. I owe my life to her, quite literally.”

Lia membaling bantal ke arah Rin. “Aku yang buat pilihan tu tau, dik. Sampai hati kau bagi kredit kat orang lain.”

Rin ketawa. “Baiklah kakak kesayangan saya, terima kasih saya hulurkan dengan ikhlas mashaAllah tabarakallah.”

Satu lagi bantal dibaling dengan gelak tawa.

Jauh di sudut hati, mereka benar-benar berharap Tasha selamat walaupun tiada siapa yang tahu kebenarannya.