Tuesday, 29 April 2025

Maruah

"Minta saja lah kawan-kawan tolong bawakan. Yang penting jangan tinggal bawah meja." Kata cikgu itu. Di matanya, aku yang mengada-ngada tak mahu meminta tolong walaupun tak mampu mengangkat buku-buku ke sekolah. Kalau dah peraturan, ikut sajalah. Orang lemah tak sepatutnya ada kemewahan untuk rasa malu dan bermaruah. 

Tapi aku tak dididik begitu.

"Jangan harapkan orang lain. Kita kena pandai hidup sendiri. Tak ada kawan, tak apa, daripada ada kawan yang membawa keburukan." Pesan ibu. Waktu itu, aku dipulaukan kerana ayah cuma seorang penjual ikan. Umur aku, 10 tahun.

Aneh — mungkin pandangan mereka — melihat orang-orang sakit dan miskin hidup seperti mereka juga punya harga diri. Kelihatan sombong dan bodoh barangkali, apabila hidup tak sepadan dengan realiti. Miskin tapi tak terdesak berkawan. Sakit tapi tak terdesak meminta pertolongan. 

Di bilik pinjaman buku teks, aku hulurkan sejumlah wang denda. Kata-kata cikgu sekadar aku balas dengan keluhan ringan. Dia punya beberapa pilihan. Pertama, mewujudkan sistem yang meringankan beban pelajar sakit dan membolehkan kami hidup seperti pelajar lain. Kedua, bersimpati dan berbudi bicara walaupun dia tak mampu menyentuh sistem sedia ada. Ketiga, menyalahkan pelajar walau apa jua situasinya.

Dan dia telah membuat pilihan yang paling senang.

Adakah dia pengecut? Adakah dia malas? Adakah dia juga seorang dewasa yang suka berhutang dan susahkan orang, hingga tanpa rasa bersalah ingin mengajar aku menjadi sepertinya?

Aku tak dididik untuk meminta-minta.
Melainkan kepada-Nya. 

Apabila kau tak meminta kepada sesiapa melainkan Allah, adakah kau kira Dia akan mengabaikanmu? 

Thursday, 24 April 2025

Urusan

"Anna beli lauk mahal, makan sekali je?" tanya ibu pagi tadi.

Aku tahu dia sudah menunggu dari petang semalam, sejak aku pulang kerja. Selalunya, aku akan makan petang sambil berborak bersama ibu sehingga solat Maghrib. Tapi semalam, aku tak keluar dari bilik hingga pagi ini, untuk pergi kerja lagi. 

Aku senyum nipis. "Penat. Dah baring atas katil, rasa malas nak bangun balik." Aku hirup kopi. "Tak apa, ibu ayah makan la lauk tu. Nanti habis, Anna belikan lagi." 

"Tak mahulah. Jemu." Gurau ibu. "Kerja tu, jangan terkejar-kejar sangat. Tenang-tenang saja. Cepat-cepat memang penat." Nasihatnya lembut.

Aku bersandar di kerusi. "Penat terkejar-kejar. Penat juga tahan marah. Nak bagi ayat tajam, tak sampai hati. Nak memaki, lagi la tak reti." Keluhan meluncur keluar.

"Sebab itu ada pahala bersabar dengan kerenah orang. Ibadah bersendirian, senang. Solat, cuma dengan sejadah. Mengaji, cuma dengan Quran. Tiada perangai untuk kita tahankan. Tapi berurusan dengan manusia, tidak. Diuji dengan hati sendiri. Diuji juga dengan hati orang lain." Ibu pesan. "Banyakkan selawat. Kadang-kadang selawat boleh bantu lembutkan hati manusia dan permudahkan urusan kita."

Pesan itu, persis hyung.

Selawat dan surah An-Nashr, antara yang pernah dia titipkan dulu.

Aku berfikir dua kali. Sebelum beramal, penting untuk aku perbetulkan niat terlebih dahulu. Kerana Dia berfirman:

"Ada antara manusia yang berkata: 'Wahai Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia!' Mereka diberikan kebaikan di dunia dan tidak ada bagi mereka sedikit pun daripada kebaikan di akhirat." (2:200)

Pengalaman merupakan sebaik-baik guru. Impikanlah apa saja daripada dunia, sertakan dengan istiqamah, pasti aku akan dapat. Namun adakah cukup dengan tujuan dunia sahaja? Adakah aku harus iyakan tipu daya syaitan yang berkata: "Tak apa, masih ada pahala beramal walaupun dengan tujuan dunia. Allah Maha Mengetahui dan Dia bukanlah kedekut." sedangkan Tuhan sudah berfirman betapa sia-sianya niat begitu.

Ayat tadi dilengkapkan dengan perbandingan pada ayat seterusnya:

"Dan di antara mereka pula ada yang berkata: 'Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.' Mereka itulah yang akan mendapat bahagian baik daripada apa yang telah mereka usahakan, dan Allah amat cepat perhitungan-Nya." (2:201-202)

Jika aku ingin lebih kerap berselawat, aku mesti sertakan dengan niat akhirat. Agar amalan tersebut tak putus walaupun urusanku tak dipermudahkan dan hati-hati mereka tidak dilembutkan. Kerana dunia bukan lagi satu-satunya tujuan. Mungkin, yang akan menjadi lebih baik daripada amalan tersebut bukanlah situasi luaran, tapi apa yang ada dalam diri kita sendiri. Dan ia adalah lebih berharga daripada segala yang berlaku di luar sana. 

Pesan ibu aku sematkan dalam jiwa. Moga-moga Tuhan sudi menerima usaha kita. 


Wednesday, 10 January 2024

Watermelon and Shark

"Kalau sampai ada orang viralkan aku masuk sini, confirm aku dipanggil hipokrit." Ujar gadis bertudung labuh itu sambil kakinya melangkah masuk ke McDonald's pada musim boikot demi Palestin.

Dia ditemani seorang lagi gadis berambut panjang, memakai sweater dan topi beanie. Cuaca yang sejuk pada hari itu membolehkannya berpakaian sedemikian. Gadis itu tidak mengikat rambutnya. Walaupun sedikit rimas, sengaja dia biarkan rambutnya lepas demi menyembunyikan alat pendengar di telinganya. "Untunglah pahala seketul Amani bertambah. Dah lah jihad secara rahsia, kena fitnah pula." Dia bergurau.

"Nanti aku akan kongsi gambar aku dengan kau banyak-banyak. Biar orang kenal sekali seorang Sera sebagai kawan baik si hipokrit. Untung rugi hari ini harus kita kongsi bersama, tak begitu?" Amani membalas. 

Sera menggeleng. "Semoga tak rugi." Nadanya mula serius.

"Amin. Let's make it work today."

Mereka berdua mula melihat sekeliling bagi mencari sebuah meja kosong. McD sedang penuh dengan anak-anak muda pada hujung minggu. Mujur ada satu meja kosong berdekatan penjuru. Mereka berjalan ke situ dan meletakkan beg galas masing-masing. Amani duduk, membuka komputer riba dan sebuah buku bertulisan Arab. Sambil berdiri, Sera turut membuka beg galasnya, mengeluarkan komputer riba dan menghidupkannya. Dia kemudian berjalan ke kaunter pesanan dengan telefon bimbit di tangan.

"Makan sini atau bungkus?" Pelayan lelaki yang bertugas di situ bertanya.

"Makan sini." Sera menawarkan satu senyuman manis. "Saya nak tebus point saja. Burger ini dua, kek dua, ice cream satu. Oh, dan air ini dua." Skrin telefon ditunjukkan kepada pelayan.

Lelaki itu tersengih. "Banyak point. Pelanggan setia ya."

Sera mengangguk. "Saya ingat hari ni saya nak bertaubat la..." Matanya mencari tanda nama lelaki itu, "Adam. Tapi ya lah, manusia hanya mampu merancang."

"Betul." Jawab Adam ringkas. Barangkali dia sebenarnya tiada kapasiti untuk memahami lapisan makna yang lebih dalam. Selepas menekan beberapa butang di mesin pesanan, Sera diminta untuk duduk terlebih dahulu sementara menunggu nombornya muncul di skrin ‘pesanan untuk diambil’.

Sera berjalan semula ke meja Amani dan duduk berhadapan gadis itu. "Dah-dah la tu baca kitab Arab, ustazah."

"Kitab arab ni la aksesori paling berguna, tahu?" 

Sera mula mengunyah gula-gula getah kesukaannya. Badannya didekatkan ke meja. "Shark's on?" Dia bertanya perlahan.

Amani mengangguk dan tersenyum. "Liar dia menggigit. Banyak dah jadi zombie kat sini.”

Shark yang dimaksudkan Sera ialah aplikasi Wireshark, penghidu rangkaian lemah yang bersambung dengan wifi palsu menyerupai McD rekaan Amani di kawasan itu. Selepas menghidu, misinya adalah untuk menggodam dan mengumpulkan seberapa banyak mungkin gajet sebagai ‘tentera’ untuk dia melumpuhkan target utama. Tentera ini dipanggil ‘zombies’.

Anak mata Amani melirik ke arah satu persatu alat yang dibawa oleh para pelanggan di situ. Jam tangan canggih, fon telinga berwayar, telefon bimbit, airpods dan lain-lain mesin. “Seekor zombie ada betul-betul kat belakang kau. Haaa takut tak?" Amani berseloroh.

"Gila pantas kau buat kerja." Puji Sera.

Amani tak membalas apa-apa. Dia kembali fokus ke laptopnya. 

Sera turut melayari internet di perantinya, namun tangan kiri bermain-main dengan satu ‘senjata’ di sebalik sweater.

Amani akhirnya mengangkat wajah. Pandangannya dan Sera bertaut. Mereka berbalas senyuman.

"Kenapa order tak masuk ni?" Keluhan pertama kedengaran.

Skrin restoran yang memaparkan nombor pesanan mula tersekat-sekat. Dan akhirnya mati.

"Baru servis minggu lepas, dah rosak. Tak pandai buat kerja ke orang teknikal ni? Kau ada salah tekan apa-apa ke ha?" Seorang pengurus kelihatan marah-marah.

"Tu, pergilah jadi penyejuk mata dia. Kasihan aku tengok." Amani mengusik Sera.

Sera memberi riak 'mahu muntah'. Tapi dia terus berdiri dan menyentuh alat pendengarnya. "You hear me good?"

Amani mengangkat ibu jari.

Sera berjalan lagi ke kaunter. "Makanan saya dah siap, Adam?"

"Sorry cik, sistem problem. Tunggu sekejap lagi ya."

"Problem apa tu?” Dia buat-buat tak tahu. Kepalanya menoleh ke skrin dan pura-pura tersedar. “Oh… Isu teknikal ini. Saya pernah kena juga masa kerja KFC dulu." Walaupun seumur hidupnya tak pernah bekerja di restoran. "Berguna jugalah ilmu IT saya. Nak saya tolong?" Kali ini, soalan itu ditujukan kepada pengurus yang membebel tadi. Sekilas dipandang tanda namanya — Zaini. Memanggil seseorang dengan namanya ialah kemahiran sosial yang dia suka gunakan. 

Zaini kelihatan teragak-agak. “Awak? Perempuan? Boleh buat ke?”

“Ish, jangan dipandang sebelah mata hanya kerana saya wanita, Encik.” Sera memetik lirik suatu lagu. “5 minit saya jamin settle. Encik Zaini tak payah bayar apa-apa. Cuma nanti sediakan makanan saya dulu walaupun nombor saya selang lagi 5 orang. Lapar ni.”

Zaini mengeluh. Dia mengira-ngira sama ada mahu memanggil syarikat teknikal luar yang akan sampai entah bila, atau mempercayai seorang pelanggan yang entah siapa-siapa. “Bolehlah. Cepat sikit, ramai pelanggan tunggu.” Dia akhirnya membenarkan.

Sera memberi isyarat 'salute'. Zaini mengiringinya ke komputer utama dalam satu bilik di bahagian belakang kaunter. Sambil berjalan, dia berbisik ke Amani melalui alat pendengar di telinga. “Make a countdown, baby. It’s resistance time.”

Encik Zaini terlebih dahulu tiba di komputer utama dan menutup semua tetingkap yang tak berkenaan, sebelum memberi ruang untuk Sera mengambil alih. Sera membongkokkan badan, menekan beberapa butang rawak yang sejujurnya tidak bermakna apa-apa. “Encik Zaini, tengok sini, lain kali kena buat macam ni.” Dia sengaja membuat pengurus itu fokus ke skrin komputer sambil tangan kirinya senyap-senyap mencucuk ‘senjata' tadi ke CPU.

Sebatang USB mengandungi RAT. Itulah senjatanya. Trojan kawalan jarak jauh ciptaan Amani yang boleh mengambil alih sesuatu sistem dalam masa 10 saat sahaja.

Sudah tentu Sera menyelesaikan ‘isu teknikal’ itu lebih daripada 10 saat. Sekitar 3 minit, dia menyudahkan lakonannya bagi sesi itu. “Cuba restart balik mesin depan tu, dah okay tak?”

Zaini segera menyuruh seorang staf melakukan apa yang Sera minta.

“Alhamdulillah! Dah okay!” Jawab staf itu. Staf-staf lain juga kelihatan lega.

Sera keluar dari bahagian belakang kaunter dan pergi ke hadapan Adam. “Jangan lupa, order saya. Kalau boleh bagi free ais krim, lagi bagus.” Sera bergurau.

“Baik, saya siapkan sekarang. Terima kasih ya.”

"Sama-sama." Sera terus menuju ke tempat duduknya.

“Pilih satu nombor.” Amani bersuara setelah Sera duduk di hadapannya.

“In range?”

“240.”

Sera ambil masa berfikir. “89.”

Amani senyum segaris.

“Nak countdown lagi?”

Amani menggeleng. ”Aku nak tunggu pengurus kesayangan kau ke sini.” Matanya memandang satu sosok yang sedang berjalan ke arah meja mereka.

Berbanding dipaparkan nombor giliran dan ambil pesanan sendiri di kaunter, Zaini sendiri yang datang membawa sedulang makanan untuk Sera.

Pengurus itu tiba di meja mereka dan meletakkan makanan satu persatu. “Terima kasih sekali lag—” kata-kata Zaini terpotong dengan jeritan seorang wanita.

Bukan dari meja lain. Bukan dari luar restoran. Tapi dari skrin pesanan. Satu video peperangan Palestin dimainkan dengan sangat kuat. Hingar bingar perbualan dan bunyi mesin air restoran terhenti. Semua pelanggan dan staf menghalakan pandangan ke arah skrin. 

“Oh, my… Kalau macam ni, saya tak mampu tolong, Encik Zaini.” Ujar Sera sambil mengangkat tangan tanda menyerah.

Pandangan Zaini masih melekat pada skrin. Wajahnya bercampur terkejut, marah dan keliru. Beberapa orang staf mula menunduk malu. Para pelanggan teragak-agak mahu meneruskan santapan mereka. Ada yang menggeleng kepala dan keluar dari tempat itu.

Sera mendapat ilham menambah perisa. Dia berdiri lalu menyimpan komputer ribanya ke dalam beg. “Encik Zaini bagilah staf-staf Encik makan order saya ni.” Katanya dengan suara yang kuat. “Saya tak biasa makan benda tercemar, apatah lagi yang tercemar dengan darah saudara sendiri. Saudara kemanusiaan kita.” Ucapnya selamba. “Dah beb, jom. Beli burger bawah pokok sebelah simpang tu sedap juga.”

Kedua-dua mereka bergerak keluar.

Misi berjaya.

Ada 239 video lagi untuk dimainkan di skrin tersebut. Cukup untuk membasuh moral sesiapa sahaja yang berada di situ selama 12 jam. 

“Bayangkan ada yang cerita, ‘Wanita bertudung labuh diselamatkan oleh Tuhan daripada makan McD. Keajaiban skrin memainkan video Palestin apabila dia berada di situ, Subhanallah.’” Amani berimaginasi lagi. 

Sera ketawa terbahak-bahak. “Kalau sampai ada orang viralkan kau, bagi aku chance pula guna senjata aku.”

“Tak payah tunggu viral. Next week kita buat Starbucks. Lusa start usya. Jangan kacau aku esok. Esok aku nak marathon kdrama.”

“Ya lah member penat kawal jerung liar hari ini. Esok aku survey kawasan tu seorang pun boleh. Kau self-reward lah puas-puas.”

Thursday, 25 May 2023

Gap

Me and Maya were talking about a hangout plan through a WhatsApp call that night.

"I'm honestly very unsure to join." I repeated this answer a few times already, but she didn't give up.

"Actually, Rin..." She replied. "Can I ask you something? And I want you to be honest with me."

I nodded while speaking. "Okay." I knew how much Maya appreciate straight-forward communication.

"I noticed you're no longer passionate in our friendship like before."

True.

"At first, I thought it's because of all this adulthood matters. But over time... I don't know, it seems like the dynamic has changed between us four. You no longer want to spend time with us, instead you choose your other friends despite how far they are. Is something wrong? Can we try to fix it?"

I sighed. "Maya," I wet my lips. "You're right. I'm a bit surprised that you noticed."

"Of course I do." She chipped in.

"But it isn't your fault. You're good. It's..." I paused. "Aafi." I mentioned one of our girls. "I don't feel fun with her. The conversation feels childish. It's like you're 16 and never grew up. Aren't we all adult now? I don't know what a proper adult should be conversing but the only highlight I remember talking with her last time is about a boy. Can you believe it?" I ranted. It felt so good to get it out of my chest, I could hardly stop.

Maya didn't respond. I wasn't sure if she was surprised or just waiting if I wanted to speak more.

"I don't dislike her. I don't want to risk our friendship. I just... There's this gap that makes me not enjoy her presence anymore. And you know when I don't enjoy my time with somebody, I'd rather be alone. Especially you three for some reason really like to be 'all or nothing' is our plan. Can we just chill with two or three of us sometimes without it being an issue?" I continued.

"I get what you mean." She finally replied. "You know Aafi. She doesn't have the opportunity to progress in our pace. People often overlook the fact that financial status does effect emotional well-being. When you can only do so much, you have less things to worry and more time to waste."

"Hardship builds character." I agreed. "And it'd be apparent if you don't face much."

"Remember Casey? She was also quite childish before. But then she lived 5 years in adversity and turned out really attractive; personality-wise." Maya reminded me of our school mate.

"Oh, yes." I did remember her. "I felt very content talking with her last time, though we didn't even vibe in high school. It's insane."

I bet Maya was nodding her head. "Ditto."

We both were silent for a few seconds.

"So... now that you know what I feel about our friendship..." I trailed off.

"I can't speak on behalf of the girls, you know that." She chuckled slightly. "But I won't force you to join us in every hang out anymore. Personally, I wouldn't mind. It's just a wonder before, why you acted different."

"Because my level of tolerance is lower than yours, Maya." I cut in with a smile.

She laughed. "She will grow up. We all do."

Friday, 12 May 2023

Ijazah

 "Diatur," Aku bersuara sambil memandu. "Berbunyi seperti keperluan seorang 6 tahun, kan?"

Nia tidak membalas.

"Seperti tak sesuai untuk dibuat terhadap seseorang yang sudah punya identiti sendiri, mampu membuat keputusan sendiri dan bertanggungjawab atas baik buruknya. Seorang dewasa macam kita, dan remaja macam mereka."

"Tapi mereka belum betul-betul faham keputusan yang mereka nak buat." Nia tak setuju. "Aku tak rasa kita patut biarkan generasi akan datang tak berpendidikan, Ra. Apa nak jadi kalau semua orang tak mahu sambung belajar dan mahu terus bekerja? Memanglah kelulusan SPM pun boleh jadi HR gaji ribu riban sekarang, tapi akhirnya kita akan jadi masyarakat dan negara yang tak bijak." Dia menggeleng dengan bayangannya sendiri. "Hidup cuma mengejar duit."

Tiba-tiba kami memikirkan masalah negara.

"Atau..." Aku menyatakan kemungkinan di sudut lain. "Kalau semua orang sambung belajar, kita akan menjadi negara yang graduannya menyumbang kemahiran di negara lain sebagai pekerja asing, dalam pekerjaan bawahan yang tiada kaitan pun dengan ijazah mereka." Aku menolehnya sekilas di tempat duduk penumpang. "Sebab negara kita sudah tak mampu nak wujudkan peluang pekerjaan untuk graduan, sejumlah dari generasi kita sehingga beberapa tahun akan datang. Ramai."

Dia terdiam.

"Aku tak salahkan sesiapa tak mahu sambung belajar. Kau nampak sendiri, generasi kita pun masih dalam dilema. Yang berkerjaya bagus, tidak gembira. Yang tidak mahu melalui jalan sama, juga tidak gembira. Kita habiskan masa, tenaga dan wang hanya untuk terpedaya."

"Ra..."

"Kau pun tahu kan, Nia? Aku, contohnya... Aku dah bagi semuanya... Semuanya kepada sistem ini. Aku percayakan kata-kata mereka bahawa belajar pandai maka masa depan cerah, belajar tinggi nanti hidup senang. Aku kehilangan keseronokan remaja. Aku hilang peluang-peluang yang mereka kata tak penting. Aku capai sebaik-baik keputusan dengan jerih dan air mata." Perbualan kami menjadi terlalu peribadi bagi aku. "Dan aku cuma minta satu."

Nia menunggu aku menyambung bicara.

"Aku cuma minta untuk tak jadi cikgu." Sesuatu yang sejujurnya semua orang tahu. "Tapi akibat permintaan yang satu itu, sistem ini tidak memberi apa-apa semula pun kepada aku."

Ruangan itu menjadi sunyi.

"Generasi akan datang bukan manja. Mereka bukan malas. Tapi mereka tak mahu terpedaya. Macam kita."

Saturday, 25 February 2023

Setia

"Ia menghancurkan kepercayaan aku," Aku menambah. "Bahawa apa-apa hubungan boleh kekal jika dijaga, meskipun perasaan antara mereka kian pudar."

Dia menunggu aku selesai berbicara.

"Ternyata ia sangat susah. Aku dah cuba untuk wujudkan balik keserasian kami, tapi...aku tak rasa apa-apa. Tawar. Kosong."

"Kau tahu, Ai?" Dia mula menyuarakan respon. "Usaha kita takkan boleh melawan takdir."

Aku berkerut.

Dia menyambung. "Aku faham kau cuba untuk setia. Tapi sekuat mana pun kita berusaha, andai Tuhan sudah takdirkan perpisahan, maka itulah yang akan berlaku."

'Tapi aku tak mahukan perpisahan.' Getus hatiku.

"Jadi, apa yang lebih penting daripada usaha ialah kita berdoa supaya Allah kekalkan hubungan itu. Hati kita semua Allah yang pegang. Hati kau tu, Allah yang pegang."

Aku merenung seketika jawapannya. Kemudian mengangguk setuju. "Kau betul." Aku senyum. "Terima kasih."

Monday, 2 January 2023

22 Pengajaran pada 2022

1. Bergantunglah kepada disiplin, bukan motivasi. Supaya pada hari motivasimu hilang, disiplin masih membantu kau hidup.

2. Jangan bandingkan muka surat pertama kita dengan bab ke-10 orang lain.

3. Ternyata aku boleh saja hidup tanpa orang yang aku fikir aku takkan mampu hidup tanpanya.

4. Ada orang yang kurang berkelayakan boleh mendapat sesuatu jawatan dan ada orang yang lebih baik pula mendapat kurang daripada itu, kerana Tuhan memberi rezeki kepada siapa yang Dia kehendaki.

5. Realiti adalah lebih kompleks daripada teori, kawan.

6. Kau takkan faham cabaran sesuatu sehingga engkau yang diuji sebegitu.

7. Nikmat juga satu ujian. Bahkan ia ujian yang lebih banyak menggagalkan berbanding kesusahan.

8. Manusia takkan pernah puas dengan nikmat sehinggalah tanah memenuhi mulutnya (mati).

9. Rumitnya perasaan, sehingga kita mampu menyayangi dan membenci orang yang sama pada waktu yang sama.

10. Tingkah laku yang baik tidak terikat dengan cinta atau sayang. Boleh jadi seseorang mencintaimu tapi tidak berbuat baik kepadamu, dan boleh jadi seseorang berbuat baik kepadamu padahal dia tidak pun mencintaimu.

11. Natijah ilmu ialah amal. Bukan gambar, bukan tulisan.

12. Lepaskan yang mahu melepaskan diri.

13. Banyak bisikan dalam kepala kita sebenarnya adalah suara yang dibisikkan  kepada kita pada zaman kanak-kanak.

14. Tiada haluan hidup yang tiada kesusahan.

15. Hanya orang mati yang tidak akan berubah.

16. Melangkahlah walaupun fikiranmu belum senang. Kerana fikiran memang akan menjangkakan hal buruk untuk kita bersedia, namun langkah pertama sebenarnya tidak selalu seburuk itu.

17. Perbezaan tidak perlu menatijahkan permusuhan.

18. Ambil masa untuk refleksi. Tenggelam dalam kesibukan tugas seharian boleh menjadikan kita lupa apa yang sebenarnya penting dalam hidup. 

19. Orang memperlihatkan kesenangan bukan kerana hidupnya senang belaka, tapi kerana tiada siapa sukakan karakter yang sedih. 

20. Sebaik apa pun kamu, kamu tetap jahat dalam cerita seseorang.

21. Orang yang tak sanggup hadapi kerendahan takkan capai ketinggian. Orang yang tak sanggup hadapi susah takkan jumpa senang.

22. Jaga diri. Kerana tiada siapa yang akan menjagamu dan menyelamatkanmu selamanya.