Friday 12 May 2023

Ijazah

 "Diatur," Aku bersuara sambil memandu. "Berbunyi seperti keperluan seorang 6 tahun, kan?"

Nia tidak membalas.

"Seperti tak sesuai untuk dibuat terhadap seseorang yang sudah punya identiti sendiri, mampu membuat keputusan sendiri dan bertanggungjawab atas baik buruknya. Seorang dewasa macam kita, dan remaja macam mereka."

"Tapi mereka belum betul-betul faham keputusan yang mereka nak buat." Nia tak setuju. "Aku tak rasa kita patut biarkan generasi akan datang tak berpendidikan, Ra. Apa nak jadi kalau semua orang tak mahu sambung belajar dan mahu terus bekerja? Memanglah kelulusan SPM pun boleh jadi HR gaji ribu riban sekarang, tapi akhirnya kita akan jadi masyarakat dan negara yang tak bijak." Dia menggeleng dengan bayangannya sendiri. "Hidup cuma mengejar duit."

Tiba-tiba kami memikirkan masalah negara.

"Atau..." Aku menyatakan kemungkinan di sudut lain. "Kalau semua orang sambung belajar, kita akan menjadi negara yang graduannya menyumbang kemahiran di negara lain sebagai pekerja asing, dalam pekerjaan bawahan yang tiada kaitan pun dengan ijazah mereka." Aku menolehnya sekilas di tempat duduk penumpang. "Sebab negara kita sudah tak mampu nak wujudkan peluang pekerjaan untuk graduan, sejumlah dari generasi kita sehingga beberapa tahun akan datang. Ramai."

Dia terdiam.

"Aku tak salahkan sesiapa tak mahu sambung belajar. Kau nampak sendiri, generasi kita pun masih dalam dilema. Yang berkerjaya bagus, tidak gembira. Yang tidak mahu melalui jalan sama, juga tidak gembira. Kita habiskan masa, tenaga dan wang hanya untuk terpedaya."

"Ra..."

"Kau pun tahu kan, Nia? Aku, contohnya... Aku dah bagi semuanya... Semuanya kepada sistem ini. Aku percayakan kata-kata mereka bahawa belajar pandai maka masa depan cerah, belajar tinggi nanti hidup senang. Aku kehilangan keseronokan remaja. Aku hilang peluang-peluang yang mereka kata tak penting. Aku capai sebaik-baik keputusan dengan jerih dan air mata." Perbualan kami menjadi terlalu peribadi bagi aku. "Dan aku cuma minta satu."

Nia menunggu aku menyambung bicara.

"Aku cuma minta untuk tak jadi cikgu." Sesuatu yang sejujurnya semua orang tahu. "Tapi akibat permintaan yang satu itu, sistem ini tidak memberi apa-apa semula pun kepada aku."

Ruangan itu menjadi sunyi.

"Generasi akan datang bukan manja. Mereka bukan malas. Tapi mereka tak mahu terpedaya. Macam kita."

No comments:

Post a Comment