Thursday, 3 September 2020

Cerita Lama

Langit mendung memayungi kereta yang sedang bergerak menyusuri jalan raya itu. Mentari semalam tidak lagi berkongsi cahayanya sejak pagi tadi.

Entah kenapa, cuaca pada hari tersebut sepertinya menemani suram mindaku.

"Macam orang belakang ni lah. Semua A."  Mata Haikal memandangku melalui cermin belakang kereta daripada tempat pemandu. Tawanya masih berbaki hasil perbualannya dengan Nabilah.

"Shut up," jawabku senada. Tidak marah, tidak juga suka. Hanya sekadar mencelah, "Nobody asked." tambahku sambil menatap suasana kereta-kereta yang berhenti di lampu isyarat.

Sekali dengar, reaksiku jelas dingin. Karakter itu sepertinya sudah sebati dengan diriku, meskipun apa yang aku maksudkan tidaklah seemosi itu. Ia membuatkan mereka yang kurang mengenaliku berhati-hati dalam bicara kerana batas yang samar-samar daripada pemilik diri yang dilihat sebagai pendiam ini.

Syukur Haikal sudah mengenaliku lebih sedikit untuk memahami bahawa aku sebenarnya tidak marah dalam bahasa itu. "I'm just saying." Dia membuat gaya mempertahankan diri dengan sengih yang tidak lekang.

Aku menggeleng perlahan, "Cerita lama lah."

Haikal bertukar posisi bersedia untuk lampu isyarat bertukar hijau, "Cerita lama itu lah yang akan kekal dengan kau sampai mati, tahu?" ujarnya. Kereta yang dinaiki kami bertiga mula bergerak perlahan, "Perkara lama itu tidak akan dapat kau rasa lagi sepertimana kali pertama kau merasakannya. Cerita lama itu berharga kerana ia tidak akan berulang... Atau mungkin, kerana ia boleh berulang lagi pada suatu masa nanti. Siapa tahu, kan?"

Aku membiarkan kata-katanya tertanam ke dalam mindaku. Senyuman kecil terukir tanpa sedar.

What will happen in the future, and will it be the same?

If I get the chance to achieve things all over again, will I take it?

Or will I leave it, because of how much my view of this world have changed?

"Heh," aku tertawa sinis, "Deep pula kau petang-petang ini." Gurauku cuba menyembunyikan betapa kata-kata itu memberi kesan terhadap jiwaku.

"Hahaha. Tengoklah langit. Mendung." jawabnya selamba. Entah apa kaitannya, aku sendiri tidak pasti.

Apa yang aku pasti, diri ini sudah banyak berubah. Diri yang lama akan memilih waktu bersendiri berbanding meluangkan masa dengan mereka yang baru dikenali dalam beberapa minggu. Diri yang lama sukar memberi peluang terhadap orang lain dan hanya membiarkan sikap prejudis menguasai tingkahlaku. Diri yang lama takut untuk memberi kebaikan kepada manusia yang rata-ratanya kerap menyia-nyiakan nikmat.

Aku masih takut. Tapi aku sedang belajar untuk berani. Berani berubah, sedikit demi sedikit. Meskipun tiada yang peka. Cukuplah aku sedar adanya Dia, dan orang-orang baik yang Dia kurniakan sebagaimana yang aku rayu untuk sentiasa berada dekat dengan aku. Cerita lama akan aku simpan. Selamanya, ia adalah sebahagian daripada aku.

No comments:

Post a Comment