Monday, 12 July 2021

Material

Satu bunyi kedengaran dari bahagian belakang kereta. Aku dan Yana memandang satu sama lain. Kereta yang tadi bergerak mengundur, aku hentikan.

"Kau terlanggar kereta dia ke weh?" Yana bertanya.

Aku harap aku boleh jawab tidak. Hanya keluhan yang terluah sebagai jawapan, lalu aku menggerakkan kereta aku yang berhenti tadi ke hadapan.

Yana jelas panik. Kereta yang di parkir tanpa pemandu itu ialah kereta Honda. Sudah tentu ganti rugi yang bakal diminta bukan sedikit.

"Relaks..." kataku pada Yana. Padahal dalam hati, Tuhan saja yang tahu.

"Sekarang kita nak buat macam mana? Takkan nak terus pergi je?"

Aku berkira-kira tidak sempat andai kami mahu menunggu pemandu kereta tersebut muncul. Kurang satu jam lagi bas Yana akan bertolak. Dengan keadaan jalan raya pada waktu petang yang biasanya jem, aku risau kami akan terlambat.

"Kau ada kertas tak?" tanya Yana.

Bijak. Pujiku dalam hati. Aku membuka box di bahagian hadapan penumpang. Mujur terdapat satu resit bank yang telah pudar.

"Kau ada pen?" aku bertanya kepada Yana. Dia jurus mengambil kotak pensilnya dari beg di kerusi penumpang belakang, mengeluarkan sebatang pen lalu diberikan kepadaku.

'Tuan/Puan,

Maaf saya terlanggar kereta Tuan/Puan. Apa-apa boleh hubungi saya di nombor sekian.

Maaf sekali lagi.'

Dengan tulisan yang agak-agak boleh dibaca, aku mencatatkan nombor telefon aku sebelum meminta Yana meletakkan nota tersebut di atas cermin hadapan kereta tersebut. Aku tidak pasti sama ada ayat aku itu proper tapi serious aku tiada masa untuk fikir ayat yang lebih baik.

**

Selesai satu urusan, kami mahu meneruskan perjalanan ketika telefon aku tiba-tiba berbunyi menandakan satu panggilan masuk daripada nombor yang tidak dikenali. Hampir saja aku ingin membiarkan panggilan tersebut, sehingga aku teringat kemalangan kecil tadi.

"Hello?" aku menjawab panggilan.

"Hello." suara seorang perempuan kedengaran di hujung talian, "Puan, saya tidak tahu puan siapa, tapi saya dapat nombor telefon puan di kereta saya..." Wanita itu teragak-agak.

"Oh, ya. Saya terlanggar kereta puan tadi. Maaf sangat-sangat. Saya betul-betul tak perasan."

Kami kemudian berbincang untuk menyelesaikan masalah tersebut. Dengan masa yang mencemburui dan urusan yang menunggu kedua-dua belah pihak, hanya beberapa minit kami ambil untuk mendapatkan kata putus.

"Akak nak berterima kasih sangat pada adik sebab jujur, ya. Akak pernah orang buat macam ni; motor, tapi lepas tu dia pergi macam tu je. Akak ni ada tiga orang anak, dengan nak betulkan kereta ni lagi. Jadi akak bersyukur sebab Allah jumpakan akak dengan orang macam adik. Akak doakan semoga urusan adik sentiasa dipermudahkan, dan semoga..."

Doa yang panjang lebar dia bacakan untuk aku. Yana di sebelah sekali lagi kelihatan resah kerana kami sebenarnya sedang sangat terburu-buru. Mulut aku meng'amin'kan setiap bait doa wanita itu tetapi dalam diam aku berharap dia boleh menyambung saja doa itu di dalam solatnya.

Wanita tersebut juga seperti sangat ingin untuk bertemu dengan aku, dan aku tidak pasti mengapa. Walaubagaimanapun, hasrat itu tidak dapat dipenuhi kerana aku akan berada di kampung sepanjang cuti semester ini.

"Adik doakan akak juga, ya?"

"Okay kak, inshaallah. Apa-apa urusan nanti akak whatsapp saja saya, ya."

Kami menutup perbualan dan menamatkan panggilan.

Aku yang langgar kereta dia, tapi dia doakan aku? Entah kenapa, perkara tersebut agak lucu bagi aku.

**

Setibanya di kampung halaman, aku menceritakan kejadian tersebut kepada ibu, serta kerisauanku tentang baki duit di bank yang semakin berkurangan kerana ganti rugi kejadian tersebut.

"Dalam hidup ini, kita perlu sedar yang tiada satu pun sebenarnya milik kita. Memang kalau barang hilang, atau duit semakin kurang, kita rasa susah hati. Tapi ingat balik, semua yang kita ada ni adalah milik Allah. Hakikat diri kita tidak punya apa-apa. Jadi, tidak perlulah difikirkan sangat barang yang sudah tiada. Bagaimana Allah boleh memberi, begitu jugalah Dia berhak untuk ambil. Dan semudah itu juga Dia boleh menggantikan dengan yang lebih baik. Jadi jangan risau sangat, ya?"

Kata-kata ibu menyuntik kesedaran dalam hatiku. Memang itu yang sedang cuba untuk aku capai - untuk tidak merisaukan tentang material. Kerana jujur, aku takut. Takut setelah melihat orang-orang yang sanggup melakukan apa saja demi material. Dan takut andai satu hari nanti aku menjadi seperti mereka.

Semoga Allah pelihara kita daripada menjadi golongan yang buta kerana dunia.

No comments:

Post a Comment