Tuesday, 3 September 2019

Cukup

**

"اللهم أعني على ذكرك وشكرك وعلى حسن عبادتك"

**

Dulu, entah kenapa, aku rasa ragu-ragu untuk mengamalkan doa ini. Akal yang masih sempit membisikkan rasa takut andai doa tersebut menyebabkan rezeki aku semakin berkurangan (silly, i know). Walhal rasa syukur dan mengingati Tuhan itu boleh datang dalam bentuk yang pelbagai, termasuk nikmat dan kemewahan. Doa ini bukan perihal rezeki, tetapi reaksi terhadap rezeki.

Suatu hari, aku sedang sibuk menulis skrip untuk satu video yang bakal diterbitkan oleh salah seorang sahabat aku. Pintu bilik ditutup rapat dan dikunci dek kebisingan di ruang tamu yang agak menganggu fokus. Tema video tersebut ialah, happiness.

Kebahagiaan.

Aku meneliti isi yang disenaraikan lalu mengolah mesej tersebut dalam bentuk penceritaan. Sampai di bahagian hampir akhir, jari aku terhenti.

Apa sebenarnya kebahagiaan?
What is happiness?

Apa yang aku nak sampaikan melalui video ini? Jawapan yang mereka perlu cari sendiri, atau sepatutnya aku memberi jawapan?

Satu persatu tanda tanya muncul dalam kepala. Penceritaan yang tadi telah kemas ditaip, aku baca semula. Jika tadi aku hanya fokus untuk menterjemah dan bercerita, kali ini aku menganalisa setiap bait perkataan yang ingin disampaikan. Melihat gambaran yang lebih besar, satu perkataan muncul dalam minda aku.

Contentment.

Rasa cukup. Atau istilah islamiknya, qana'ah. Apa yang membuatkan kita tidak gembira, kebanyakannya adalah kerana kita berasa tidak cukup. I need more. I deserve better. Why does this happen to me? Bisikan-bisikan yang membuatkan hati kita resah. Jiwa kita kosong.

Menulis skrip itu, pintu hati aku terasa seperti diketuk lembut. Ya, bersyukur untuk bahagia itu adalah sesuatu yang cliche dan biasa disebarkan dalam status-status WhatsApp, Facebook, dan Instagram. Kata-kata tersebut sudah seperti mantra yang diterapkan dalam kumpulan-kumpulan "budak agama". Tetapi, menemui sesuatu atas tindakan orang lain berbanding dengan menyedari sesuatu atas usaha kerja minda sendiri, berbeza rasanya. Maka, pada solat seterusnya, aku menambah satu lagi doa dalam rutinku.

"Ya Allah, Kau bantulah aku untuk mengingati-Mu, bersyukur kepada-Mu, dan memperbaiki ibadahku kepada-Mu."

Aku tidak minta harta dan kemewahan. Aku tidak minta nama dan kecantikan. Aku hanya ingin cukup. Syukur.

Kerana aku hanya ingin bahagia.