Monday, 18 August 2025

Senior

"Dah berapa tahun kerja kat sini, itu pun tak tahu!" Anna mengulang ayat Kak Rabiah ketika memarahinya. Dia sedang bercerita kepada Nisa punca kesedihannya pada minggu itu. 

Anna tidak pun menafikan kesalahannya atau menyalahkan seniornya. Dia sekadar meluahkan ketika ditanya 'mengapa'. Dia benar-benar kecewa dengan diri sendiri, seolah-seolah tahun-tahun pekerjaannya sia-sia kerana masih membuat silap yang sama.

Nisa tergelak sinis. "Bukan main ayat dia." Respon Nisa. "Tengoklah sekeliling kita, Anna. Tengok berapa ramai yang dah hidup bertahun-tahun, dah tua pun tapi masih tak faham agama." Nisa menyuap makanannya. Antara keramaian yang dimaksudkan sebenarnya ialah senior Anna sendiri.

"Still..." Anna jelas masih bersedih. "It doesn't justify anything. Semakin senior, sepatutnya kita semakin mahir dalam apa yang penting." Senior yang Anna maksudkan di sini membawa dua makna, iaitu dalam alam pekerjaan dan dalam umur sebagai senior citizen.

Nisa yang tadi mengunyah sedikit, meletakkan sudu ke tepi. “Tell me, why do you think ramai orang yang lebih tua dari kita tapi masih tak faham agama?" 

"Er..." Anna cuba berfikir. Jarinya bermain-main dengan straw minumannya. "Sebab mereka tak sekolah agama macam kita? Tak bertahun-tahun menuntut ilmu agama, dan hidup dalam lingkungan agama macam kita?" Anna jeda seketika. "Ia soal pilihan dan rezeki. Mungkin mereka tiada rezeki untuk tahu yang peluang tu wujud. Mungkin mereka tahu peluang tu ada tapi tiada ruang pula. Tiada duit, contohnya. Atau mungkin mereka ada dua-dua… tapi simply pilih yang lain disebabkan keperluan yang lebih penting pada masa itu."

Nisa petik jari. "Ditto!"

Anna tersenyum. Dia seperti sudah sedikit mengerti.

Nisa bertanya lagi, "Now, tell me, Anna. Why do you think kau dah bertahun kerja kat situ tapi masih 'itu pun tak tahu'?"

Anna tidak lagi bermain-main dengan strawnya. "Sebab aku tak biasa..." Seharusnya dia menyambung, tapi entah kenapa, tiada lagi kata-kata yang keluar dari mulutnya.

Itulah Anna. Mudah bersangka baik dengan orang lain, tapi tidak pula dengan diri sendiri.

"Sebab kau manusia. Kau pun manusia, sama macam mereka." Nisa memujuk. "Mungkin pilihan masa lalu kau yang berbeza bagi kesan pada diri kau hari ni, so apa yang mudah bagi Kak Rabiah masih sukar bagi kau walaupun dah bertahun-tahun. Frankly speaking, sebagus mana pun kau dalam sesuatu perkara, kau still akan buat silap. That doesn't mean you're worth less than others." Nisa bersandar. "Kau buat salah walaupun dah bertahun, so what? You improve again and again. Kau takkan sempurna. Kak Rabiah pun takkan sempurna. Kau tunggu je berapa minggu lagi mesti dia buat silap."

Anna tergelak kecil. 

Kalau Anna sejenis yang tak perbesarkan silap orang, Kak Rabiah pula sejenis yang tak nampak silap sendiri. 

"And do you remember? Ini cuma dunia." Nisa sambung. "At least kau bukan orang tua yang hidup bertahun-tahun tapi tak ingat Tuhan macam—"

"Sudah, sudah. I get it." Anna menyampuk dengan nada girang sambil satu jari di bibir. Dia tak mahu sesi meluah itu menjadi sesi mengumpat.

Nisa pun ikut kelihatan lebih ceria. "Keep that smile, okay? Aku tahu kau risau juga kalau orang tua tu bawa mulut mencanang silap kau macam syarikat tu jadi bankrup. But don't let haters make you ugly. You're prettier when you're happy, Anna."

Pada saat itu, jujur Anna rasa kecukupan yang tertinggi. Rasa seperti dia tak perlukan orang lain selagi dia ada seorang sahabat seperti Nisa.


Tuesday, 29 April 2025

Maruah

"Minta saja lah kawan-kawan tolong bawakan. Yang penting jangan tinggal bawah meja." Kata cikgu itu. Di matanya, aku yang mengada-ngada tak mahu meminta tolong walaupun tak mampu mengangkat buku-buku ke sekolah. Kalau dah peraturan, ikut sajalah. Orang lemah tak sepatutnya ada kemewahan untuk rasa malu dan bermaruah. 

Tapi aku tak dididik begitu.

"Jangan harapkan orang lain. Kita kena pandai hidup sendiri. Tak ada kawan, tak apa, daripada ada kawan yang membawa keburukan." Pesan ibu. Waktu itu, aku dipulaukan kerana ayah cuma seorang penjual ikan. Umur aku, 10 tahun.

Aneh — mungkin pandangan mereka — melihat orang-orang sakit dan miskin hidup seperti mereka juga punya harga diri. Kelihatan sombong dan bodoh barangkali, apabila hidup tak sepadan dengan realiti. Miskin tapi tak terdesak berkawan. Sakit tapi tak terdesak meminta pertolongan. 

Di bilik pinjaman buku teks, aku hulurkan sejumlah wang denda. Kata-kata cikgu sekadar aku balas dengan keluhan ringan. Dia punya beberapa pilihan. Pertama, mewujudkan sistem yang meringankan beban pelajar sakit dan membolehkan kami hidup seperti pelajar lain. Kedua, bersimpati dan berbudi bicara walaupun dia tak mampu menyentuh sistem sedia ada. Ketiga, menyalahkan pelajar walau apa jua situasinya.

Dan dia telah membuat pilihan yang paling senang.

Adakah dia pengecut? Adakah dia malas? Adakah dia juga seorang dewasa yang suka berhutang dan susahkan orang, hingga tanpa rasa bersalah ingin mengajar aku menjadi sepertinya?

Aku tak dididik untuk meminta-minta.
Melainkan kepada-Nya. 

Apabila kau tak meminta kepada sesiapa melainkan Allah, adakah kau kira Dia akan mengabaikanmu? 

Thursday, 24 April 2025

Urusan

"Anna beli lauk mahal, makan sekali je?" tanya ibu pagi tadi.

Aku tahu dia sudah menunggu dari petang semalam, sejak aku pulang kerja. Selalunya, aku akan makan petang sambil berborak bersama ibu sehingga solat Maghrib. Tapi semalam, aku tak keluar dari bilik hingga pagi ini, untuk pergi kerja lagi. 

Aku senyum nipis. "Penat. Dah baring atas katil, rasa malas nak bangun balik." Aku hirup kopi. "Tak apa, ibu ayah makan la lauk tu. Nanti habis, Anna belikan lagi." 

"Tak mahulah. Jemu." Gurau ibu. "Kerja tu, jangan terkejar-kejar sangat. Tenang-tenang saja. Cepat-cepat memang penat." Nasihatnya lembut.

Aku bersandar di kerusi. "Penat terkejar-kejar. Penat juga tahan marah. Nak bagi ayat tajam, tak sampai hati. Nak memaki, lagi la tak reti." Keluhan meluncur keluar.

"Sebab itu ada pahala bersabar dengan kerenah orang. Ibadah bersendirian, senang. Solat, cuma dengan sejadah. Mengaji, cuma dengan Quran. Tiada perangai untuk kita tahankan. Tapi berurusan dengan manusia, tidak. Diuji dengan hati sendiri. Diuji juga dengan hati orang lain." Ibu pesan. "Banyakkan selawat. Kadang-kadang selawat boleh bantu lembutkan hati manusia dan permudahkan urusan kita."

Pesan itu, persis hyung.

Selawat dan surah An-Nashr, antara yang pernah dia titipkan dulu.

Aku berfikir dua kali. Sebelum beramal, penting untuk aku perbetulkan niat terlebih dahulu. Kerana Dia berfirman:

"Ada antara manusia yang berkata: 'Wahai Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia!' Mereka diberikan kebaikan di dunia dan tidak ada bagi mereka sedikit pun daripada kebaikan di akhirat." (2:200)

Pengalaman merupakan sebaik-baik guru. Impikanlah apa saja daripada dunia, sertakan dengan istiqamah, pasti aku akan dapat. Namun adakah cukup dengan tujuan dunia sahaja? Adakah aku harus iyakan tipu daya syaitan yang berkata: "Tak apa, masih ada pahala beramal walaupun dengan tujuan dunia. Allah Maha Mengetahui dan Dia bukanlah kedekut." sedangkan Tuhan sudah berfirman betapa sia-sianya niat begitu.

Ayat tadi dilengkapkan dengan perbandingan pada ayat seterusnya:

"Dan di antara mereka pula ada yang berkata: 'Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.' Mereka itulah yang akan mendapat bahagian baik daripada apa yang telah mereka usahakan, dan Allah amat cepat perhitungan-Nya." (2:201-202)

Jika aku ingin lebih kerap berselawat, aku mesti sertakan dengan niat akhirat. Agar amalan tersebut tak putus walaupun urusanku tak dipermudahkan dan hati-hati mereka tidak dilembutkan. Kerana dunia bukan lagi satu-satunya tujuan. Mungkin, yang akan menjadi lebih baik daripada amalan tersebut bukanlah situasi luaran, tapi apa yang ada dalam diri kita sendiri. Dan ia adalah lebih berharga daripada segala yang berlaku di luar sana. 

Pesan ibu aku sematkan dalam jiwa. Moga-moga Tuhan sudi menerima usaha kita.