Monday, 8 November 2021

Curhat di Kedai Kopi

Meja-meja kosong di Coffee Bean & Tea Leaf mula diisi dengan pelanggan pada petang hujung minggu itu. Aku duduk membelakangi pintu, di satu meja berdekatan penjuru paling jauh seseorang perlu berjalan dari pintu masuk. Hazelnut latte ais dan sepinggan lasagna terhidang, bersama sebuah buku bertajuk Poskad-poskad Penghujung Semester terbuka di sebelahnya. Aku mengunyah suapan tadi sambil menghayati huruf-huruf yang dititipkan oleh penulis.

"Engkau di seberang sana, sudah-sudahlah menghukum aku dari kejauhan, menyangka aku sedang mendaki dan melupakan. Mampirlah kau dan lihatlah apa yang sedang aku lakukan. Adakalanya yang engkau lihat hanya bayang hitam yang sedang mendaki, walhal aku sedang bersabar menuruni lembah kehidupan.

Dan tahukah engkau, betapa sengsaranya jiwa meraih makna hamba?

Engkau megah menggelar diri sebagai kawan yang setia — menarik jika aku meninggi, mengangkat jika aku merendah. Sudahlah. Engkau hanya mengenali aku yang dulu, engkau tidak pun memasuki kehidupanku yang sekarang."

Penanda buku aku letakkan di celah-celah halaman itu, lalu buku aku tutup sebelum tanganku mencapai telefon bimbit.

"ETA pukul berapa? I gotta need to have my expectation right." Aku menekan butang hantar.

Telefon bimbit itu bergetar tidak lama kemudian. "3:31."

Aku meneliti catatan waktu di bawah mesej yang baru masuk itu. 3:30. Dahiku berkerut.

Pelanggan yang tidak berhenti masuk ke dalam kafe dari tadi membuatkan pintu kafe terus berbunyi, namun bunyi yang satu ini hadir bersama aura yang membuat aku tersenyum. Aku menoleh ke belakang, dan ya, tudung biru muda kelihatan dari kejauhan.

El Khaira.

Aku melemparkan senyuman untuk dia sebelum memandang semula ke hadapan. Buku aku simpan. Makanan aku suap buat kali terakhir dan aku tolak pinggan sisa itu ke tepi meja bagi memberi ruang minuman dan makanan baru yang akan ada tidak lama lagi.

Sementara menunggu dia selesai memesan di kaunter, fikiranku menerawang ke detik tadi. Petunjuk kehadirannya daripada mesej dan aura. Apakah itu logik atau firasat? Barangkali gabungan kedua-duanya. Aku menggeleng menyahkan tanda tanya.

Firasat bukanlah sesuatu yang asing bagi aku. Cerita seperti ini, pada kebanyakan orang, hanyalah logik dan kebetulan. Tapi di mana logik dan kebetulan tentang mimpi yang bukan sekali? Ada kisah-kisah yang tidak tercapai dek akal tentang mimpi dan firasat yang aku alami. Berkenaan orang-orang yang aku sayang. Barangkali kerana hati kami saling berhubungan. Ah, entahlah. Memikirkannya hanya membuka ruang untuk syaitan menggoda, maka aku lebih memilih untuk pura-pura tidak mengerti.

"Lamakah hang tunggu?" Dia menepuk lembut bahuku.

Aku tersenyum sambil menggeleng. "Tak pun. Just nice je."

"Weh sorry, tadi makcik aku patutnya pergi klinik je. Tapi lepas tu dia nak pakai kereta pergi..." Khaira terus bercerita panjang.

Aku, macam biasa, menjadi pendengar setia.

"Itu yang jadi lewat." Selepas menjelaskan sebab musababnya, Khaira meminta izin untuk ke tandas. Kemudian, dia kembali bersama makanan dan minuman yang dipesannya tadi.

Aku mengangkat sebelah kening melihat air yang diletakkan di atas meja. "Caramel machiatto?"

Khaira sekadar ketawa dan menyuap sepotong kek oreo yang dipesannya tadi.

"Sejak bila hang minum kopi manis?" Aku melanjutkan pertanyaan.

Selepas mengunyah dan menelan kek tersebut, tangannya mula mencapai pemegang cawan. "People change." Khaira mengenjut bahu sambil tersenyum. Dia kemudian menghirup minumannya penuh nikmat.

Aku sekadar bersandar memerhatikannya. "Indeed."

"Eh, hang kerja apa sekarang? Aku nampak updates hang tapi aku tak faham." Dia menukar topik.

Aku menghela nafas panjang. "Kalau aku taknak cakap pasal tu, boleh?"

Khaira terkebil-kebil seketika. Masakan tidak? Sudah setahun lebih kami tidak berjumpa. Tentunya kami ingin mengetahui apa yang sedang dilakukan oleh satu sama lain sekarang. Tetapi aku pula memilih untuk masih menyimpan rahsia, walaupun Khaira telah merantau merentasi lima negeri untuk bertemu denganku.

"Nak kena bagitahu juga ke?" Aku mengangkat kening.

Dia tergelak. "Mestilah tidak. We talk about what we're comfortable to talk about. I won't force you."

Aku mengangguk. "I know." Jawabku perlahan. "And for that, thank you."

Sejujurnya, aku tidak tahu apa yang aku telah lakukan sehingga Tuhan menetapkan bahawa aku layak untuk mendapat seorang sahabat seperti Khaira. Sahabat yang sangat memahami, mempercayai dan menghormati. Barangkali berkat doa ibu sebenarnya.

"How about you? How are thing's going?" Aku pula bertanya.

Khaira mengunyah dan menelan suapannya. "Well..." Dia meletakkan sudu.

"The interview?" Aku memilih topik.

"Oh it was terrible management. Padahal sepatutnya tak ada isu pun. Kami budak scholar kot but you know these people, buat kerja entah apa-apa. That day la aku..."

Kami meneruskan perbualan sehingga lebih kurang dua jam. Minuman kami sudah habis. Jika tidak kerana aku belum solat Asar, mungkin kami telah memutuskan untuk memesan secawan kopi lagi.

"Weh Umi. Macam mana kita boleh rapat ha?"

Aku terjeda dengan soalan itu.

"Izati tanya aku hari tu. Macam mana kita boleh rapat sedangkan masa sekolah dulu sekali pun kita tak pernah bertegur."

Aku mengimbau kembali kali pertama kami keluar bersama. Waktu itu menjadi titik permulaan persahabatan kami sehingga saat ini. Waktu itu, tahun kedua ijazah, iaitu masa-masa aku paling berputus asa dengan hidup. "Mungkin sebab... kita kenal sunyi yang sama."

**

Menjadi kuat itu bukan hanya ketika kita mampu tersenyum. Tetapi juga ketika kita menangis memujuk diri untuk terus bergerak.

Monday, 12 July 2021

Material

Satu bunyi kedengaran dari bahagian belakang kereta. Aku dan Yana memandang satu sama lain. Kereta yang tadi bergerak mengundur, aku hentikan.

"Kau terlanggar kereta dia ke weh?" Yana bertanya.

Aku harap aku boleh jawab tidak. Hanya keluhan yang terluah sebagai jawapan, lalu aku menggerakkan kereta aku yang berhenti tadi ke hadapan.

Yana jelas panik. Kereta yang di parkir tanpa pemandu itu ialah kereta Honda. Sudah tentu ganti rugi yang bakal diminta bukan sedikit.

"Relaks..." kataku pada Yana. Padahal dalam hati, Tuhan saja yang tahu.

"Sekarang kita nak buat macam mana? Takkan nak terus pergi je?"

Aku berkira-kira tidak sempat andai kami mahu menunggu pemandu kereta tersebut muncul. Kurang satu jam lagi bas Yana akan bertolak. Dengan keadaan jalan raya pada waktu petang yang biasanya jem, aku risau kami akan terlambat.

"Kau ada kertas tak?" tanya Yana.

Bijak. Pujiku dalam hati. Aku membuka box di bahagian hadapan penumpang. Mujur terdapat satu resit bank yang telah pudar.

"Kau ada pen?" aku bertanya kepada Yana. Dia jurus mengambil kotak pensilnya dari beg di kerusi penumpang belakang, mengeluarkan sebatang pen lalu diberikan kepadaku.

'Tuan/Puan,

Maaf saya terlanggar kereta Tuan/Puan. Apa-apa boleh hubungi saya di nombor sekian.

Maaf sekali lagi.'

Dengan tulisan yang agak-agak boleh dibaca, aku mencatatkan nombor telefon aku sebelum meminta Yana meletakkan nota tersebut di atas cermin hadapan kereta tersebut. Aku tidak pasti sama ada ayat aku itu proper tapi serious aku tiada masa untuk fikir ayat yang lebih baik.

**

Selesai satu urusan, kami mahu meneruskan perjalanan ketika telefon aku tiba-tiba berbunyi menandakan satu panggilan masuk daripada nombor yang tidak dikenali. Hampir saja aku ingin membiarkan panggilan tersebut, sehingga aku teringat kemalangan kecil tadi.

"Hello?" aku menjawab panggilan.

"Hello." suara seorang perempuan kedengaran di hujung talian, "Puan, saya tidak tahu puan siapa, tapi saya dapat nombor telefon puan di kereta saya..." Wanita itu teragak-agak.

"Oh, ya. Saya terlanggar kereta puan tadi. Maaf sangat-sangat. Saya betul-betul tak perasan."

Kami kemudian berbincang untuk menyelesaikan masalah tersebut. Dengan masa yang mencemburui dan urusan yang menunggu kedua-dua belah pihak, hanya beberapa minit kami ambil untuk mendapatkan kata putus.

"Akak nak berterima kasih sangat pada adik sebab jujur, ya. Akak pernah orang buat macam ni; motor, tapi lepas tu dia pergi macam tu je. Akak ni ada tiga orang anak, dengan nak betulkan kereta ni lagi. Jadi akak bersyukur sebab Allah jumpakan akak dengan orang macam adik. Akak doakan semoga urusan adik sentiasa dipermudahkan, dan semoga..."

Doa yang panjang lebar dia bacakan untuk aku. Yana di sebelah sekali lagi kelihatan resah kerana kami sebenarnya sedang sangat terburu-buru. Mulut aku meng'amin'kan setiap bait doa wanita itu tetapi dalam diam aku berharap dia boleh menyambung saja doa itu di dalam solatnya.

Wanita tersebut juga seperti sangat ingin untuk bertemu dengan aku, dan aku tidak pasti mengapa. Walaubagaimanapun, hasrat itu tidak dapat dipenuhi kerana aku akan berada di kampung sepanjang cuti semester ini.

"Adik doakan akak juga, ya?"

"Okay kak, inshaallah. Apa-apa urusan nanti akak whatsapp saja saya, ya."

Kami menutup perbualan dan menamatkan panggilan.

Aku yang langgar kereta dia, tapi dia doakan aku? Entah kenapa, perkara tersebut agak lucu bagi aku.

**

Setibanya di kampung halaman, aku menceritakan kejadian tersebut kepada ibu, serta kerisauanku tentang baki duit di bank yang semakin berkurangan kerana ganti rugi kejadian tersebut.

"Dalam hidup ini, kita perlu sedar yang tiada satu pun sebenarnya milik kita. Memang kalau barang hilang, atau duit semakin kurang, kita rasa susah hati. Tapi ingat balik, semua yang kita ada ni adalah milik Allah. Hakikat diri kita tidak punya apa-apa. Jadi, tidak perlulah difikirkan sangat barang yang sudah tiada. Bagaimana Allah boleh memberi, begitu jugalah Dia berhak untuk ambil. Dan semudah itu juga Dia boleh menggantikan dengan yang lebih baik. Jadi jangan risau sangat, ya?"

Kata-kata ibu menyuntik kesedaran dalam hatiku. Memang itu yang sedang cuba untuk aku capai - untuk tidak merisaukan tentang material. Kerana jujur, aku takut. Takut setelah melihat orang-orang yang sanggup melakukan apa saja demi material. Dan takut andai satu hari nanti aku menjadi seperti mereka.

Semoga Allah pelihara kita daripada menjadi golongan yang buta kerana dunia.

Thursday, 21 January 2021

Waktu dan Pesanan

"Kita buat baik untuk Allah sayang. Jangan sedih bila orang kutuk, keji kita. Kita hidup untuk Allah sayang. Kita buat apa pun untuk Allah sayang."

Video ustaz Ebit Lew bermain di skrin telefon. Tamat video, skrin kembali ke paparan sembang aku dan Amir.

Cliche sangat. Detik hatiku. "Thanks." Aku tetap menghargai usaha dia berkongsi video tersebut supaya aku bermuhasabah tentang tujuan hidup pada saat aku dah tak nampak what's the point belajar bersungguh-sungguh lagi macam dulu.

Mana lagi menyentuh hati - antara video itu dengan keberadaan dia?

Mestilah yang kedua.

**

Hari demi hari, tiada perubahan. Tetapi Amir tetap ada untuk aku melepaskan sisi yang aku tak boleh nak tunjuk di hadapan orang lain.

Malam Ramadan. 3 pagi. "Banyakkanlah baca Quran, tau?" Amir pesan dari tempat duduk pemandu. "Para ulama paling banyak baca Al-Quran masa Ramadan. Bila mereka buat begitu, bermakna adalah kelebihan amalan itu pada bulan ini."

Kereta Amir melepasi satu bangunan kediaman. Gelap gelita seperti langit di atasnya tetapi kelihatan beberapa lampu masih bercahaya. "Kau dah cari maksud mikrokosmos?" Aku bertanya tanpa hiraukan topik yang jauh berbeza.

Dia memandang aku sekilas daripada cermin pandang belakang. "Belum."

Kenapa tak cari? Kau tak tahu menghargai puisi yang aku susun untuk kau? "Oh." Keluhan panjang aku simpan sendiri. Macam biasa. "Maksud dia, macam bangunan tu. Setiap lampu menandakan kewujudan satu jiwa. Ada yang bersengkang mata kerana pelajaran. Ada yang menguruskan anak, atau hal kerja. Setiap jiwa mempunyai satu kehidupan yang berputar hanya sekitar jiwa itu. Kalau diperhatikan, lampu-lampu itu macam bintang di angkasa juga. Macam alam semesta... Kosmos. Cuma dalam entiti yang lebih kecil. Mikro-kosmos."

"Wow..." Amir kelihatan kagum. "Yang ayat akhir dalam puisi tu, apa maksudnya? Mi casa es tu casa?"

Senyap. Macam biasa juga, Amir tak memaksa. Dan dia terus memandu meskipun tiada arah tuju malam itu. Kecuali satu - menemani aku.

Mana lagi menyentuh hati - nasihat dia atau pengorbanan dia bersengkang mata untuk pastikan aku tak buat benda bodoh?

You know the answer.

**

Rindu.

Aku mula menatal mesej-mesej lama.

"Kita hidup untuk Allah sayang."

Suara yang sama mengulang. Tapi kali ni, si penghantar sudah tiada untuk aku macam dulu. Telefon ditutup. Mata aku tertumpu kepada Al-Quran.

"Banyakkanlah baca Quran, tau?"

Suara itu hanya tinggal memori. Nasihat yang akan terus pudar dan hilang andai aku tak jadikan realiti.

"Sehari satu juzuk. Kalau boleh, up kan lagi jadi dua juzuk." Mesej whatsapp dia pula muncul dalam kepala. Aduh... Banyak sangat tu. Mampu ke aku?

Well. A try won't hurt, I guess?

**

Buku Hiduplah Untuk Hari Ini sampai di rumah. Hadiah konvokesyen daripada seorang sahabat dari Mesir. Macam-macam pesanan klise terbuku dalam tu.

"Teruslah semangat untuk masa depan. Sentiasa bersyukur."

Tengah pandemik. Nak semangat pun tak pasti boleh bawa ke mana.

Penanda buku diletakkan di celah-celah halaman, kemudian tersimpan bersama buku baru itu.

Mana yang lebih menyentuh hati - kandungan buku itu atau niatnya untuk meraikan aku?

Same old.

**

Hening. Bilik aku gelap macam biasa. Entah kenapa, malam itu terasa sunyi yang teramat sangat. Kebanyakan kawan pula sedang sibuk, lupakan saja niat untuk jadikan mereka teman berbicara.

Aku membuka wattpad. Contengan Jalanan karya Hlovate, Ramadan Excerpts.

"Orang beriman melihat hari di hadapannya sebagai satu kesempatan untuk meraih cinta dan redha Allah serta mendapatkan syurga. Setiap hari adalah kesempatan. Kesempatan untuk meraih redha dan syurga Allah."

Terkebil-kebil aku mengulang baca ayat itu. Sekali. Dua kali. Tiga kali. Rasa... sesuatu.

Sejak episod perkenalan dengan Amir lagi aku sudah berhenti mengucapkan alhamdulillah setiap kali bangun tidur. Tiada apa lagi untuk disyukuri pada hari yang baru. Tiada apa yang melegakan dengan peluang lagi satu.

Aku cuma ingin semuanya berakhir. Pantas.

Petikan tadi mempunyai mesej yang sama dalam buku Hiduplah Untuk Hari ini, kecuali ia terasa seperti menyentuh lubuk hatiku lebih dalam pula kali ini.

Sekali lagi, tanpa keberadaan si pemberi di sisi.

**

Tuhan meninggalkan pesanan melalui teman-teman dan helaian-helaian. Seperti air yang menitik ke atas batu tanpa henti, akhirnya membentuk jua suatu rupa yang baru. Mujur saja hatiku bukan daun keladi.

Kini, pegangan hakiki terpasak lebih teguh. Cinta dan redha Allah sebagai tujuan utama. Destinasi akhir, tidak lain tidak bukan mestilah syurga.

Dan jalan menuju ke sana - hate it or love it - adalah kehidupan. Di sini. Setiap hari.

Setiap detik. Setiap peluang. Setiap kesempatan.

Terima kasih, Tuhan, atas waktu dan pesanan.

Sunday, 27 September 2020

Dengki

Sarah mengangkat kening melihat figura yang dikenalinya itu.

Beberapa tapak di hadapan, Fauzan tersenyum sambil membawa dua plastik berisi makanan asas menuju ke arah Sarah. Di dalam plastik itu terdapat beberapa beg beras, gula, biskut, dan keperluan lain yang dikira cukup untuk dua minggu.

Barangan tersebut disediakan oleh pihak universiti untuk para mahasiswa dan mahasiswi yang tidak pulang ke kampung halaman semasa Perintah Kawalan Pergerakan. Salah seorangnya ialah Sarah. Dia terpaksa tinggal berseorangan sepanjang tempoh ini setelah teman-teman serumahnya pulang ke kampung. Dia juga mempunyai pilihan untuk pulang, tetapi Sarah enggan kerana dia berpegang dengan hadith nabi, mafhumnya jangan pergi ke tempat wabak dan jangan keluar jika telah berada di situ.

Kawasan mereka telah berada pada zon merah, manakala kampung halaman Sarah masih dalam kategori zon hijau. Atas sebab itu, dia tidak mahu meletakkan ahli keluarganya dalam bahaya hanya kerana sunyi dan rindu.

Fauzan pula memilih untuk kekal di kampus bagi membantu agihan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

"Tolong tekan butang lif itu," pinta Fauzan.

"Eh, inshaallah I boleh bawa sendiri. Letak saja di sini," Sarah tidak berganjak.

Fauzan menggeleng dengan senyuman yang tidak lekang dari bibirnya lalu meletakkan barangan tadi di hadapan lif sebelum menekan butang lif sendiri, "Itu, you bawa satu. I bawa lagi satu," Fauzan cuba bertoleransi, "You puasa kan? Simpan sedikit tenaga itu buat masak nanti," tambahnya. Meskipun Sarah tidak berkata apa-apa, dia dapat mengagak bahawa wanita itu perlu berjimat cermat sepanjang tempoh kawalan ini kerana mereka tidak tahu berapa lama ia akan berlanjutan.

Sarah memandang sekilas seorang lagi jejaka yang berada di tempat duduk pemandu van yang dinaiki oleh Fauzan. Kelihatan lelaki itu sedang sibuk dengan telefon bimbitnya, "Mesti banyak lagi tempat you nak pergi. Tidak mengapa, I boleh bawa sendiri, inshaallah. Serious," Sarah tidak mengalah.

"Cik Sarah, saya -" tidak sempat Fauzan menghabiskan kata, pintu lif sudah terbuka. Dia tersengih sebelum mengambil barangan tadi ke dalam lif, "I don't have the key to your house, you know?" gurau Fauzan, tanda meminta Sarah masuk sekali ke dalam lif untuk ke unitnya.

Bibir Sarah terukir senyuman kecil dengan lagak sahabatnya itu, "Fine," dia melangkah masuk.

Butang tingkat 15 ditekan. Sarah berdiri di bahagian belakang lif sementara Fauzan di bucu hadapan. Ruang di tengah dibiarkan kosong. Perkara seperti ini dianggap kecil oleh kebanyakan orang, tetapi mereka berpegang dengan kata-kata Umar RA bahawa berjalan di belakang singa itu lebih baik daripada di belakang wanita. Ya, kecil, tetapi bermakna.

Hanya sunyi yang mengisi ruangan lif tersebut sehingga pintu lif terbuka. Fauzan melangkah keluar bersama satu beg plastik. Satu lagi ditinggalkan untuk Sarah.

"15-06," Sarah menyebut sebelum menuruti langkah Fauzan.

Fauzan menoleh kiri dan kanan, mencari nombor unit tersebut. Setelah menjumpainya, dia berdiri di tepi pintu berjeriji besi rumah Sarah, menunggu tuan rumah membuka kunci.

Pintu rumah di belakang jeriji besi tersebut turut dibuka. Sarah menanggalkan kasut dan membawa beg plastik yang dijinjingnya dari tadi terus ke ruang tamu. Fauzan pula sekadar berdiri di luar. Sama sekali dia tidak bercanda untuk dijemput masuk. Fauzan tahu, ada perkara yang boleh dibuat gurau, ada yang tidak. Dia dan Sarah kedua-duanya berasa tidak senang andai perihal mendekati zina dibuat main. Barangkali atas prinsip hidup yang sama ini, mereka mudah menjadi kawan rapat.

Dia membiarkan saja Sarah mengambil satu lagi beg plastik di hadapannya untuk dibawa masuk.

Jam menunjukkan 6:30 petang. Detikan suis lampu kedengaran, tetapi tiada cahaya yang kelihatan.

Pintu rumah yang sedikit terbuka membolehkan Fauzan melihat Sarah berdiri berdekatan suis lampu di sebelah pintu itu, "You okay?" dia bertanya dengan kening yang berkerut.

Sarah keluar dari pintu dengan keluhan kecil, "I think it's broken," ujarnya, "The lamp. But no worries, there's still some light that can get through from my room to the living room," dia cuba mengukir senyuman untuk menyenangkan Fauzan.

"Cool. Use that light dulu sementara I pergi cari barang untuk betulkan lampu itu," Fauzan membuat keputusan, "Inshaallah I'll come over by tonight,"

Mata Sarah membesar, "What? No-"

"More words, Cik Sarah," Fauzan menyambung bantahan sahabatnya, "You tinggal seorang-seorang saja sekarang. That gloomy environment won't help. Kalau I perempuan, boleh teman you, tidak mengapa juga. But if something happened, you know that we have our limit. So let me do my best in what I can for you now, okay?" Fauzan menerangkan.

Sarah tidak setuju, "Fauzan, you don't stop working for the needies since day 1. You deserve some rest tonight. Besides, one night in the gloomy won't hurt. Inshaallah I'll deal with this myself," Sarah menoleh sebentar ke belakang. Jujurnya, dia sendiri tidak pasti bagaimana. Dia sedar risiko memanggil orang luar yang tidak dikenali ke dalam rumah. Barangkali dia perlu menonton manual di YouTube untuk mencuba sendiri?

Fauzan tergelak kecil, "How? You nak panggil technician betulkan?" Fauzan menyoal, "I won't let you starve yourself some more to pay them when I can do something about this. Plus, it won't be safe," Fauzan bertegas, "Knowing you live alone... You tak akan bohong cakap ada orang lain dalam rumah if he asked, right?" Fauzan memberi hujah, "Dah dah, I kena turun sekarang. Apa-apa I inform dekat WhatsApp, inshaallah. Stay safe,"

**

Malam menjelma.

Fauzan memastikan semua keperluan telah dibawa sebelum bergerak ke pangsapuri Sarah. Walaupun keletihan masih berbaki, dia enggan membiarkan masalah sahabatnya itu tertunda. Takut-takut nanti dia terlupa dalam kesibukan jadual harian.

Kereta meluncur laju di atas jalan raya. Beberapa minit kemudian, dia tiba di rumah sewa itu.

Fauzan menuju ke lif yang sedang ditunggu oleh seorang lagi wanita berbaju kemeja dan bertudung. Wanita muda itu melemparkan senyuman ke arah Fauzan. Fauzan hanya membalas dengan riak muka yang manis lalu mengalihkan pandangan.

Di dalam lif, wanita itu menekan butang 15. Fauzan berdiri di bahagian hadapan seperti biasa, namun wanita tersebut tidak berganjak ke belakang dan terus berdiri di sebelahnya.

Lima saat.

Fauzan memilih untuk melangkah ke belakang dan menumpukan perhatian ke telefon bimbitnya. Jadual pada hari esok diteliti meskipun tidak berkeperluan. Dia sekadar ingin menjaga hatinya.

Ting!

Pintu lif terbuka pada tingkat 15. Wanita berkemeja itu keluar menuju ke salah satu unit pada tingkat yang sama manakala Fauzan terus menuju ke unit Sarah.

Dia tidak memberi salam dan hanya menunggu Sarah membuka pintu. Ini bagi mengelakkan gema daripada laluan itu yang mungkin mengganggu jiran lain.

Sarah muncul di hadapan pintu lalu membuka kunci pintu berjeriji besi di hadapan rumahnya. Dia kemudian memberi ruang kepada Fauzan untuk masuk terus ke ruang tamu, tanpa menutup pintu jeriji besi tersebut.

Wanita berkemeja tadi tegak di hadapan unit rumahnya. Di sebalik jeriji besi, matanya memerhatikan Fauzan sejak lelaki itu berhenti di hadapan rumah Sarah. Dia terus menunggu sehingga Fauzan masuk ke dalam rumah bersama Sarah. Ya, seperti yang diharapkan. Rakaman dihentikan. Dia menyimpan kembali telefon bimbit dan masuk ke dalam rumah dengan senyuman yang menyeringai.

Dalam masa yang sama, Sarah melangkah keluar daripada unit rumahnya dan menuju ke tangga di hujung koridor. Dia ingin membiarkan sahaja Fauzan sendiri memperbaiki apa yang perlu tanpa mereka berdua-duaan di dalam rumah. Pintu berjeriji kekal terbuka. Sarah melabuhkan punggung di tangga sambil menikmati pemandangan malam bandar yang didiaminya.

**

Kumpulan WhatsApp rumah sewanya riuh pada pagi itu. Sarah membiarkan saja notifikasi masuk sementara dia melakukan rutin paginya. Barangkali melepaskan rindu masing-masing, fikirnya. Dia telah menetapkan mode senyap tetapi dengan paparan notifikasi untuk kumpulan itu.

Tiba-tiba, telefon bimbitnya berbunyi menandakan ada mesej lain, "Sarah... What is this?" satu mesej dari Syu terpapar. Bersama-sama pertanyaan tersebut, terdapat satu pautan Facebook.

Sarah klik pada pautan yang membawanya ke satu video daripada akaun umum luahan warga kampus. Di atas video tersebut, tertulis ayat sinis.

'Aku cakap dah. Budak agama ni semua hipokrit. Dekat luar bukan main kononnya menegakkan agama. Tapi dalam rumah?'

Sarah memainkan video tersebut. Kelihatan Fauzan sedang menunggunya membuka pintu rumah malam tadi. Video terhenti pada saat dia dan Fauzan masuk bersama-sama ke dalam rumah, tanpa memaparkan Sarah keluar kembali.

Nafasnya seperti tersekat. Dia membaca komen-komen di bawah video tersebut yang rata-rata mencela dirinya dan sahabatnya. Segala makian dan cercaan diterima.

Sarah menekan butang 'kembali' di telefon bimbitnya dan membuka kumpulan rumah sewa.

"Bukankah peraturan rumah kita tidak boleh dijejaki lelaki melainkan darurat macam kebakaran dan sebagainya? Apa yang terdesak sangat waktu PKP ini Sarah?"

"Akak, lebih baik kita tunggu Sarah jelaskan dulu,"

"Betul. Sarah bukan macam itu. Kita sendiri kenal dia,"

"Lamanya nak jelaskan pun. Tengah mencari helah kah?"

"Kita rumah tarbiah. Tolong semua jangan lupa bahawa kita di sini untuk saling membantu dan membimbing, bukan menjatuhkan. Sekali lagi nada sinis, saya takkan teragak-agak untuk mengambil tindakan."

Antara pesanan-pesanan yang dihantar.

Sarah terus kaku. Dia tidak mampu membalas mesej dari Syu atau membela dirinya. Cacian yang dibaca dari Facebook masih terngiang-ngiang.

'Munafik,'

'Sundal,'

'Perempuan murahan,'

'Penzina,'

Sarah memejamkan mata. Hatinya sebak.

Andai saja dia bertegas tidak membenarkan Fauzan membantunya. Andai saja dia mencuba sendiri untuk memperbaiki alatan rumahnya. Pasti video seperti itu tidak akan tersebar. Benar apa yang dikatakan oleh rakan serumahnya. Apa yang terdesak sangat? Risiko untuk orang luar yang berkemahiran berbuat sesuatu yang membahayakan kepada dirinya kerana dia tinggal seorang diri adalah tipis. Soal wang pula, berlapar cuma perkara kecil jika hendak dibandingkan dengan fitnah yang dihadapinya sekarang.

Sarah termenung dengan telefon bimbit masih di tangan. Gajet itu berdering menerima panggilan dari Syu. Lambat-lambat Sarah mengangkat.

"Assalamualaikum. Sarah..."

"Waalaikumsalam..." ujar Sarah perlahan, "Aku tak buat, Syu..." Tanpa dia sedari, air matanya mula mengalir, "Demi Allah, aku tak buat apa-apa dengan Fauzan," suaranya mula serak.

Sarah tidak mampu lagi berkata apa-apa. Hanya esakan yang kedengaran di hujung talian.

Syu cuba menenangkan Sarah yang sedang tenggelam dalam kesedihan. Jarang sekali dia mendengar Sarah menangis sebegini keras. Andai dia berada di sisi Sarah pada saat itu, sudah pasti dia akan memeluk Sarah. Dia percaya akan rakan sekelasnya itu. Dia sangat mengerti persahabatan Sarah dan Fauzan. Batasan-batasan yang dijaga mereka, bukan seperti orang lain. Entah apa yang berlaku di belakang cerita, tetapi ada pihak yang dengki sehingga menabur fitnah terhadap rakannya. Tambahan lagi dengan situasi seperti ini. Hanya Tuhan yang tahu betapa Sarah memendam rasa, mengasingkan diri dalam tempoh yang lama kemudian menghadapi ujian ini sendiri.

**

Fauzan menutup telefonnya dari pagi tadi. Dia tahu, tidak ada guna untuk membela diri andai punca tidak terlebih dahulu diselesaikan. Dia duduk di dalam keretanya, menunggu kemunculan seorang wanita.

Tepat 12:30 tengah hari, wanita yang dinanti-nantikannya muncul. Fauzan berjalan masuk ke kawasan pangsapuri hingga ke lif. Pintu lif yang hampir tertutup ditahan, menampakkan reaksi terkejut wanita itu apabila mengecam muka Fauzan. Tanpa membuang masa, Fauzan menapak ke arah butang lif lalu menekan butang 'tutup'. Wanita yang tersentak tadi secara automatik melangkah ke belakang.

Sekali lagi, hanya mereka berdua. Tetapi kali ini, tiada senyuman atau wajah yang manis untuk bertukar-tukar.

Fauzan membelakangi pintu lif, menghadap wanita itu, "Aku cadangkan kau menarik balik fitnah yang kau tabur. Kita selesaikan hal ini dengan baik," mendatar nada Fauzan.

"Heh," wanita itu menjeling, "Kalau aku tak nak, kau nak buat apa?"

"Aku masih boleh mendedahkan kau dengan menghubungi admin halaman luahan kampus. Cuma, kau yang akan malu nanti kerana tidak menonjolkan kejujuran sendiri,"

Wanita itu menggeleng, "Pendedahan pemilik asal luahan dikira sebagai pelanggaran etika. Dia tidak akan berbuat demikian,"

Fauzan mendekatkan sedikit jarak antara mereka berdua, "Do you know who I am?" dingin suara Fauzan.

Wanita tersebut sekali lagi agak bergetar dengan perubahan yang ditunjukkan oleh Fauzan, tetapi dia cuba menyembunyikannya dengan tangan yang bersilang di dada, "I don't know..." dia mengenjut bahu, "A guy who's lucky enough to sleep with a religious slut?"

Jika bukan kerana Fauzan dididik dengan pegangan agama yang kuat, sudah pasti tamparan yang menjadi hidangan perempuan itu.

Pintu lif terbuka, "Oh, my call," wanita itu melambai di hadapan muka Fauzan sebelum melangkah keluar dari lif.

"Fauzan bin Daud,"

Langkah wanita itu terhenti.

"Tan Sri Daud, to be exact," Fauzan menyatakan, "I'm sure you recognize my name. Keep your decision and expect the worst," Fauzan memusingkan badannya ke arah pintu lif yang masih terbuka, "Dare me," pintu lif tertutup lalu menghalang terus pandangan Fauzan daripada wanita itu.

Dengan perasaan gementar, wanita tadi bergegas masuk ke dalam rumah dan menuju ke bilik untuk menenangkan diri. Jarinya menaip laju nama lelaki tersebut di carian internet. Pilihan 'imej' ditekan. Terpapar gambar Fauzan berdiri bersebelahan bapanya di sebuah sekolah. Usia Fauzan jelas masih remaja, menunjukkan ianya sebuah gambar lama. Namun, raut wajah lelaki itu tidak banyak berubah.

Wanita itu menelan air liur. Jika dia tidak membersihkan nama Sarah, siapa tahu apa yang boleh dilakukan oleh lelaki itu terhadapnya? Tambahan lagi, ternyata dia bukan orang biasa-biasa.

Jeritan kemarahan diluahkan. Bantal tidur dibaling ke dinding. Bengang. Bukan sahaja dia gagal menjatuhkan Sarah, bahkan hidupnya juga boleh hancur kerana budak agama itu. Mengapa perempuan itu terlalu bertuah?

Akaun Facebook segera dibuka untuk menghubungi admin laman luahan warga kampus. Dia meminta perkongsian video fitnah itu dipadam dan digantikan dengan permohonan maaf tanpa mendedahkan identiti dirinya.

"Oh ya, ada satu pesanan untuk awak," tambah admin itu setelah bersetuju dengan permintaannya.

"Apa dia?" tanya wanita itu.

"Lelaki dalam video tersebut mengarahkan awak untuk memohon maaf secara peribadi dengan wanita dalam video yang sama,"

Wanita itu hampir tidak percaya apa yang dibacanya. Lelaki ini berguraukah? Hanya kerana dia mempunyai kedudukan, dia boleh berbuat sesuka hatinya?

Otaknya ligat memikirkan cara untuk mengelak daripada memenuhi permintaan itu, tetapi buntu. Rasa benci terhadap wanita agama itu semakin membuak-buak. Sekali lagi, dia kalah.

Tak guna!

**

Fauzan mengambil nafas sebelum membuka telefon bimbit. Anehnya manusia. Waima tidak dapat bersua, masih mampu mencalar nama. Dalam hati dia berharap agar tindakannya semalam berhasil. Sejujurnya dia tidak suka menggunakan nama Papa untuk menyelesaikan masalah. Malah, dia mengelak daripada mendedahkan latar belakang keluarganya sejak tamat sekolah menengah. Tetapi semalam dia tidak punya banyak pilihan.

"Terima kasih," mesej pertama yang dibaca. Daripada Sarah. Dua perkataan ringkas itu sudah cukup untuk memberi jawapan kepada persoalannya.

Alhamdulillah. Segera dia melakukan sujud syukur. Walaupun dia telah berusaha, Tuhanlah yang membolak-balik hati setiap manusia.

"Has she met you?" Fauzan bertanya.

"Yes," jawab Sarah, "I knew her. That girl... We worked together before,"

Fauzan berkerut, "Ada perkara berlaku ke sampai dia fitnah you macam tu sekali?"

Sarah bercerita, "Not really. Cuma dia memang tak gemar dengan kelompok agama. Entah kenapa. Dia rasa kita semua hipokrit," terang Sarah, "While to me... Dia ada personal grudge against me. Dia tak suka bila orang dengar kata I tapi ambil remeh pandangan dia. I know what you think; dia tak patut anggap semua benda personal sedangkan kita berurusan secara professional. But... Maybe she's just too hurt,"

Fauzan beristighfar membaca penjelasan Sarah.

"By the way, just out of curiosity, apa you akan buat kalau dia tak tarik balik fitnah itu?" tanya Sarah.

Fauzan berfikir sejenak, "Entah," jawabnya, "I tak biasa jatuhkan orang ni. Mungkin kena tonton drama pukul 7 dulu untuk dapat inspirasi macam mana orang gunakan kedudukan untuk kepentingan diri?" gurau Fauzan.

Sarah tergelak kecil, "Lagi satu perkara... Macam mana pula you boleh tahu siapa dalangnya?"

"Now, that's the importance of staying calm during stressful moments," giliran Fauzan memulakan cerita, "I figured it out from the angle of the video. Sebelum tiba dekat rumah you, I ada terserempak dengan seorang perempuan dekat dalam lif. Rumah dia dekat angle sebiji macam dekat dalam video itu. Tak cerdik, bukan?" kata Fauzan, "Kemeja yang dia pakai pula salah satu uniform kedai alat kebersihan diri. Cawangan mana, itu tak pasti. Tapi I tahu dia akan keluar semalam untuk bekerja. Shift bila pun I tak tahu. So I bersedia saja untuk tunggu sepanjang hari untuk berjumpa dengan dia. Alhamdulillah, dia shift pagi rupanya. Tengah hari dah balik. Selebihnya... Mungkin dia dah cerita?"

"Yes,"

"Good. Now enough about her. Are you taking this well though?" Fauzan kembali serious. Dia sebenarnya masih risau dengan keadaan Sarah bersendirian. Sekuat mana pun pendirian yang dizahirkan oleh wanita itu, dia masih tidak lari daripada fitrah emosi. Apatah lagi dengan situasi yang lebih mencabar ketika itu.

"I think so," ujar Sarah, "I just need time to make sense of everything,"

"Hey, dengar cakap I dan jangan sesekali salahkan diri you atas apa yang dah jadi. Elakkan ber'kalau' dengan masa lalu. Nabi dah sebutkan perkara itu daripada syaitan," pesan Fauzan.

"Baik, Tuan Muda Fauzan," Sarah berjenaka.

Fauzan membalas dengan satu emotikon jengkel.

Thursday, 3 September 2020

Cerita Lama

Langit mendung memayungi kereta yang sedang bergerak menyusuri jalan raya itu. Mentari semalam tidak lagi berkongsi cahayanya sejak pagi tadi.

Entah kenapa, cuaca pada hari tersebut sepertinya menemani suram mindaku.

"Macam orang belakang ni lah. Semua A."  Mata Haikal memandangku melalui cermin belakang kereta daripada tempat pemandu. Tawanya masih berbaki hasil perbualannya dengan Nabilah.

"Shut up," jawabku senada. Tidak marah, tidak juga suka. Hanya sekadar mencelah, "Nobody asked." tambahku sambil menatap suasana kereta-kereta yang berhenti di lampu isyarat.

Sekali dengar, reaksiku jelas dingin. Karakter itu sepertinya sudah sebati dengan diriku, meskipun apa yang aku maksudkan tidaklah seemosi itu. Ia membuatkan mereka yang kurang mengenaliku berhati-hati dalam bicara kerana batas yang samar-samar daripada pemilik diri yang dilihat sebagai pendiam ini.

Syukur Haikal sudah mengenaliku lebih sedikit untuk memahami bahawa aku sebenarnya tidak marah dalam bahasa itu. "I'm just saying." Dia membuat gaya mempertahankan diri dengan sengih yang tidak lekang.

Aku menggeleng perlahan, "Cerita lama lah."

Haikal bertukar posisi bersedia untuk lampu isyarat bertukar hijau, "Cerita lama itu lah yang akan kekal dengan kau sampai mati, tahu?" ujarnya. Kereta yang dinaiki kami bertiga mula bergerak perlahan, "Perkara lama itu tidak akan dapat kau rasa lagi sepertimana kali pertama kau merasakannya. Cerita lama itu berharga kerana ia tidak akan berulang... Atau mungkin, kerana ia boleh berulang lagi pada suatu masa nanti. Siapa tahu, kan?"

Aku membiarkan kata-katanya tertanam ke dalam mindaku. Senyuman kecil terukir tanpa sedar.

What will happen in the future, and will it be the same?

If I get the chance to achieve things all over again, will I take it?

Or will I leave it, because of how much my view of this world have changed?

"Heh," aku tertawa sinis, "Deep pula kau petang-petang ini." Gurauku cuba menyembunyikan betapa kata-kata itu memberi kesan terhadap jiwaku.

"Hahaha. Tengoklah langit. Mendung." jawabnya selamba. Entah apa kaitannya, aku sendiri tidak pasti.

Apa yang aku pasti, diri ini sudah banyak berubah. Diri yang lama akan memilih waktu bersendiri berbanding meluangkan masa dengan mereka yang baru dikenali dalam beberapa minggu. Diri yang lama sukar memberi peluang terhadap orang lain dan hanya membiarkan sikap prejudis menguasai tingkahlaku. Diri yang lama takut untuk memberi kebaikan kepada manusia yang rata-ratanya kerap menyia-nyiakan nikmat.

Aku masih takut. Tapi aku sedang belajar untuk berani. Berani berubah, sedikit demi sedikit. Meskipun tiada yang peka. Cukuplah aku sedar adanya Dia, dan orang-orang baik yang Dia kurniakan sebagaimana yang aku rayu untuk sentiasa berada dekat dengan aku. Cerita lama akan aku simpan. Selamanya, ia adalah sebahagian daripada aku.

Friday, 10 April 2020

Terpedaya.

Dia bangun dari tempat solatnya dan berpindah ke saf belakang. Suasana yang lengang pada waktu Zohor itu memudahkan dia untuk mencari tempat solat baharu.

Stoking lengan ditarik sedikit ke pergelangan bagi memastikan auratnya ditutup dengan sempurna, "Allahuakbar," takbir diangkat.

Dalam hati, dia cuba untuk meluruskan niat sebaik mungkin. Jujur, dia bukanlah seorang Muslimah yang melazimi solat sunat sebelum dan selepas solat fardu. Namun apabila menunaikan kewajipan kedua rukun Islam itu di masjid universiti, dia sedar bahawa dia mewakili fakultinya iaitu Pengajian Islam dan banyak mata-mata yang memandang. Dia berasa bertanggungjawab untuk menunjukkan contoh terbaik kepada masyarakat sekaligus menjaga nama golongan agamawan daripada dituduh sebagai kelompok yang mempunyai ilmu tetapi tidak mengamalkan. Dia tidak mahu akibat dirinya seorang, seluruh kelompok tercalit pandangan buruk orang ramai.

Walaupun jauh di lubuk hati, dia terkadang mempersoalkan niat sendiri.

**

Jam 3 pagi.

Matanya masih belum memberikan tanda-tanda mahu tidur. 'Satu jam lagi, inshaallah,' dia bermonolog sendiri. Kafein di sebelah komputer riba dihirup bagi mengekalkan fokus terhadap tugasannya.

Dia sedang mengumpulkan isi penting daripada sebuah karya agung Hujjatul Islam Imam Al-Ghazali, Ihya' Ulumuddin. Ingin sekali dia membaca dengan teliti satu persatu kata ulama' itu, tetapi dia tidak punya kemewahan masa. Hanya bab-bab yang berkaitan dengan tajuk tugasannya menjadi pilihan.

Riak. Topik yang sedang dicerna. Terdapat pelbagai tingkatan dan keadaan belitan syaitan menerusi sifat itu. Dia hanya terus membaca, sehingga sampai pada satu ayat; situasi yang mirip dengan persoalan yang disimpannya semenjak dua menjak ini.

"Sesungguhnya keberatan engkau kepada si pencela itu, adalah kerana agama semata-mata. Dan ini adalah penipuan syaitan semata-mata."

Jiwanya sedikit tersentak. Dia cuba memahami perenggan itu sehabis baik. Kemudian dia tersandar, bermuhasabah.

'Membuat kebaikan di hadapan orang kerana ingin mengelakkan fitnah terhadap golongan tertentu, sedangkan ketika bersendirian tidak diperbuat ibadah seperti itu. Hakikat seorang mukmin itu tahu bahawa dia harus menyayangi dirinya terlebih dahulu sebelum menyelamatkan orang lain. Apakah justifikasi kita untuk menyelamatkan orang lain tetapi mengabaikan diri sendiri ketika bersendirian dengan Tuhan? Melainkan ini adalah sebahagian tipu daya syaitan daripada sifat riak,'

Mindanya merumuskan.

Hela nafas menjadi berat. Sungguh dia tidak menyangka begitu sekali dia terperdaya.

"Astaghfirullahalazhim... Astaghfirullahalazhim..."

Masih banyak yang perlu diperbaiki. Dia mengambil masa menerima khilaf sendiri.

Moga Allah SWT ampunkan kita.

Tuesday, 7 April 2020

#KitaJagaKita

"Babe," Anne memanggilku, "Ini aku ada beli nasi goreng. Makanlah," dia menghulurkan bungkusan kecil itu kepadaku.

Aku meneliti bungkusan itu dengan rasa aneh. Langit sudah senja. Masakan kami hendak makan nasi goreng pada waktu-waktu begini?

"Beli dekat mana?" aku bertanya.

Anne duduk di bawah kipas ruang tamu rumah kami. Barangkali masih penat selepas pulang dari kerja. Peti sejuk aku buka untuk menyimpan makanan tadi sementara menunggu jawapannya.

"Ada budak kecil jual berhampiran kedai aku tadi. Tak sampai hati tengok," Anne menjawab, "Ibu aku pesan, waktu-waktu kuarantin macam ini kalau nampak orang berniaga, belilah. Jangan takut tiada duit. Inshaallah, Allah akan gantikan dengan rezeki yang lebih luas,"

Aku tersenyum mendengar dia mengulang nasihat bondanya.

"Dan sekarang aku sudah tiada duit!" Anne meluahkan ketawa hambar.

Aku tergelak kecil, "Tidak mengapa. Barang rumah banyak lagi, boleh masak. Atau pun esok aku beli promo Burger King, kita makan sama-sama. Okay?" Aku mempelawa, "Yang penting kau jangan nak tengok FoodPanda atau aplikasi sebegitu. Habis semua peniaga kecil engkau mahu bantu nanti," gurau aku.